Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

IoW JaPen Pahang Tampil Kelainan

By 26 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Kuantan) 

KUANTAN, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Pahang melakukan kelainan pada siri Program Info on Wheels (IOW) dengan menggunakan teknik pemujukan berlatarkan suara dan nada menginsafkan seakan talkin.

Menurut Pengarah Penerangan Pahang Sabarudin Yeop Hamza, program ini merupakan inisiatif JaPen dalam memberikan penerangan tentang dasar-dasar kerajaan dan membantu masyarakat memahami dengan lebih mendalam tentang isu terkini seperti virus COVID-19, langkah kesiapsiagaan dan respons kerajaan bagi mengelak penularannya.

“Jika dahulu JaPen menggunakan kaedah penyebaran maklumat secara bersemuka tetapi kini, seiring dengan perubahan semasa JaPen menggunakan hebahan secara terus kepada masyarakat melalui unit hebahan bergerak yang akan pergi ke setiap pelosok kampung dan bandar bagi menyampaikan mesej-mesej dan maklumat terkini.

“Setakat ini, JaPen Pahang telah mengadakan hebahan di 852 kawasan dan ianya akan diadakan secara berterusan sepanjang pandemik ini,” katanya ketika ditemui pada program hebahan tersebut di sekitar kawasan Beserah, di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan pihak jabatan juga mengadakan kelainan pada kaedah penyampaian kali ini agar ia mampu memberi impak kepada masyarakat melalui pendekatan pemujukan.

Pengarah Penerangan Pahang ketika ditemubual pemberita semasa Program IOW Dun Beserah.

Pengarah Penerangan Pahang ketika ditemubual pemberita semasa Program IOW Dun Beserah.

“Saya bersyukur, masyarakat di sini mendengar dan mengambil perhatian ketika hebahan dibuat.

“Saya berharap mereka juga akan mengambil sikap lebih cakna dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan membantu menyebarkan mesej ini kepada keluarga dan komuniti setempat,” ujarnya.

Sabarudin berkata pihak jabatan mendapat kerjasama yang baik daripada semua jabatan kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, ketua-ketua kampung, penghulu-penghulu dan jabatan serta agensi yang berkaitan bagi menjayakan program hebahan ini ke seluruh pelusuk negeri.

ADUN Beserah Andansura Rabu mengucapkan tahniah kepada JaPen Pahang di atas kreativiti yang dilakukan ketika menyampaikan maklumat kepada masyarakat setempat.

“Kepelbagaian kaedah ini amat penting dalam kita memberi penerangan dan menyebarluaskan maklumat bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasaran.

“Saya amat berharap masyarakat dapat mematuhi dan mengamalkan SOP yang telah ditetapkan bagi membantu kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.

-AH-

Tinggalkan komen anda