Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Petugas Kesihatan Terus Cekal Galas Tanggungjawab Tanpa Henti

By 27 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Suzaima Ibrahim (Kota Kinabalu)/Kementerian Pertahanan Malaysia

PUTATAN, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus cekal menggalas tanggungjawab tanpa henti bagi melandaikan rantaian wabak COVID-19 walaupun sudah lebih setahun penularannya di negara ini.

Ketua Jururawat 802 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Kem Lok Kawi Misa Sebanting, berkata petugas barisan hadapan terutamanya warga KKM terus komited bertugas di lapangan.

“Sehingga hari ini, kami di KKM masih berjuang dan bertugas tanpa putus asa dalam menghadapi virus COVID-19 ini.

“Sudah pasti kami merasai kepenatan itu tetapi sebagai petugas barisan hadapan kepuasan untuk memastikan setiap rakyat Malaysia terutamanya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seluruh anggota keluarga mendapat suntikan vaksin COVID-19 amat berbaloi kerana dapat membentuk komuniti berkelompok dan seterusnya dapat mengelak mereka daripada mendapat kesan yang teruk sekiranya dijangkiti COVID-19,” ujarnya semasa ditemui pada Program Vaksinasi Pandu Lalu Peringkat Divisyen Kelima Infantri di kem tersebut, di sini semalam.

Tambah Misa, pihak ATM juga banyak memberi kerjasama serta sokongan dalam menjayakan Program Pemberian Vaksin (PPV) sejak Mac lalu.

“Setakat ini Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia telah menjayakan PPV secara berpusat sebanyak 15 kali dan PPV pandu lalu ini merupakan kali pertama diadakan di Kem Lok Kawi dan kesemuanya mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan dari semua anggota dan seluruh ahli keluarga ATM,” ujarnya

Sementara itu, Jururawat Kesihatan Bivvy Pretus, berkata PPV pandu lalu ini adalah usaha yang baik dari pihak ATM bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin COVID-19.

Antara petugas RSAT Kem Lok Kawi yang melaksanakan tugasan pada Program Vaksinasi Pandu Lalu Peringkat Divisyen Kelima Infantri Malaysia.

Antara petugas RSAT Kem Lok Kawi yang melaksanakan tugasan pada Program Vaksinasi Pandu Lalu Peringkat Divisyen Kelima Infantri Malaysia.

“Melalui PPV Pandu Lalu ia dapat mengurangkan pergerakan penerima dan menjimatkan masa untuk menerima suntikan vaksin.

“Walaupun kami terpaksa bertugas di kawasan terbuka dan berpanas di bawah khemah namun ianya tidak menjadi halangan kepada kami untuk menjalankan tanggungjawab kami sehingga selesai,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, rakan Bivvy, Ain Abdullah, berkata sebelum mendapatkan vaksin COVD-19, penerima perlu bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Masih ramai yang takut untuk menerima vaksin disebabkan terpengaruh dengan berita-berita yang tidak sahih.

“Sepanjang bertugas di PPV sejak Mac lalu, ada juga kes yang melibatkan penerima tidak mahu disuntik sehinggakan ada yang menangis.

“Bagi kes-kes sebegini kami terpaksa menyerahkan kes tersebut kepada pihak doktor untuk penilaian lanjut dan sebagainya,” kongsinya kepada pemberita.

Untuk rekod, sepanjang pembukaan PPV Pandu Lalu berkenaan, sebanyak 636 dos suntikan vaksin telah diterima oleh anggota tentera, ahli keluarga, anggota kakitangan awam Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH) dan para anggota Askar Wataniah.

-RI

Tinggalkan komen anda