Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMAPerak

Pemandu Teksi Terus Disantuni

By 26 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)

TAIPING, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana golongan termasuk pemandu teksi yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tanpa bantuan bahkan sentiasa mendekati dan menyalurkan sumbangan kepada mereka.

Ahli Majlis Perbandaran Taiping Datuk Ton Zalani Mat Darus, berkata golongan pemandu teksi amat terkesan dengan keadaan ini apabila kebanyakan sumber ekonomi ditutup sehingga menyebabkan mereka kehilangan pelanggan.

“Selain itu, pemandu juga perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan hanya membenarkan seorang penumpang sahaja dalam satu-satu masa lantas menjejaskan hasil pendapatan mereka.

“Lantaran itu, kita terpanggil untuk memberi sumbangan kepada mereka termasuk Ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Jana bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui di Taman Desa Jana, Kamunting, di sini petang tadi.

Ton Zalani yang juga Pengerusi Rukun Tetangga Taman Desa Jana dan Penasihat Persatuan Pemandu Teksi Bandar Taiping turut berterima kasih kepada Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, menerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan atas keprihatinan bagi membantu menjayakan program ini.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk terus menyebar informasi berkaitan bantuan atau imbuhan yang diberikan kerajaan bukan saja dari peringkat persekutuan bahkan negeri supaya masyarakat terus peka dan tidak timbul kekeliruan terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan perkampungan atau luar bandar,” tambahnya.

Abd Hamid (kiri) dan Thanaraj (kanan).

Abd Hamid (kiri) dan Thanaraj (kanan).

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pemandu/Pemilik Teksi dan Kereta Sewa Bandar Taiping, Thanaraj Krishnan Perumal, berkata hasil pendapatan sebagai pemandu teksi yang diterima secara harian terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Pendapatan harian para pemandu teksi ini yang rata-rata berusia lingkungan 50 tahun ke atas amat terjejas ekoran pandemik yang berlaku dan ini amat mengecewakan.

“Namun saya amat bersyukur atas bantuan yang diberikan dan berharap agar agensi-agensi lain turut terlibat dalam menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi khususnya di bandar ini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bandar Taiping, Abd Hamid Sebran turut menyatakan penghargaan atas pemberian sumbangan kepada golongan terjejas ini.

“Kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk kerana terus menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi yang terjejas pendapatan mereka.

“Ini kali ketiga bantuan ini diterima dan harapan saya agar sumbangan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya.

Penduduk Taman Desa Jana yang terjejas pendapatan turut menerima sumbangan.

Penduduk Taman Desa Jana yang terjejas pendapatan turut menerima sumbangan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga Taman Desa Jana, Zulkifli Hashim berkata pemberian sumbangan turut diagihkan kepada hampir 150 penduduk yang terjejas.

“Kami sebagai ahli jawatankuasa di kawasan rukun tetangga ini bukan saja bertanggungjawab menjaga keselamatan penduduk bahkan terlibat sama dalam urusan kebajikan mereka,” katanya.

~RJ~

Tinggalkan komen anda