Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Meningkat dengan 5,244 Kes

By 24 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 di negara ini kembali meningkat kepada 5,244 kes selepas dua hari berturut-turut merekodkan bawah angka 5,000.

Menerusi perkongsian di Twitter, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perangkaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 501 kes berbanding 4,743 kes, kelmarin.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 711,006.

Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 2,001 kes diikuti Negeri Sembilan (677); Sarawak (577); Kuala Lumpur (531); dan Johor (282).

Pahang pula mencatat 245 kes, Kedah (189), Melaka (180), Sabah (129), Pulau Pinang (159), Kelantan (81), Labuan (77), Perak (75), Terengganu (27); Putrajaya (13); dan Perlis hanya satu kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataannya memaklumkan daripada 5,244 kes baharu itu, tujuh adalah kes import manakala 5,237 kes melibatkan penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan empat warganegara dan tiga bukan warganegara manakala kes tempatan membabitkan 4,291 warganegara dan 946 bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 6,372 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatifnya 645,553 kes, manakala kes aktif kini 60,816.

Katanya, jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 4,637 susulan 83 kematian baharu yang dilaporkan, manakala sebanyak 879 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 433 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata 24 kluster baharu dikesan hari ini dengan 15 daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja, tujuh kluster melibatkan komuniti dan masing-masing satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi serta pusat tahanan.

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah tujuh di Selangor iaitu Industri Jalan Bacang, Tapak Bina Warisan Puteri, Jalan Perdagangan Alam Jaya, Jalan Enam Selatan Dua, Jalan Bandar Satu, Industri Jalan Kidamai Dua dan Industri Perusahaan Utama, selain Industri Jalan Macalister dan Tingkat Perusahaan 6A di Pulau Pinang.

Kluster tempat kerja lain adalah Industri Jalan Usaha Dua (Melaka), Jalan Mangga Satu (Melaka), Jalan Raja Bot (Kuala Lumpur), Jalan Kukuban (Kuala Lumpur), Jalan Kempas Permatang (Johor) dan Pasar Kemunting (Pahang).

Kluster komuniti pula adalah Nanga Tada, Jalan Kuala Tatau, Sungai Kotak dan Tanjong Lelengau di Sarawak, Lorong Tun Mamat Dua (Melaka), Kampung Segambut Dalam (Kuala Lumpur), Jerung Surau (Terengganu), manakala kluster kumpulan berisiko tinggi adalah Jalan Sepang (Selangor) dan kluster pusat tahanan iaitu Tembok Jelebu (Negeri Sembilan).

“Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster adalah 2,690 dengan 851 kluster aktif,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda