Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

PEMERKASA Plus Sasar Bantuan Bagi Rakyat Terjejas

By 23 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mahdini Jaini (Sarawak)

KUCHING, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Menerusi inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) dengan bajet keseluruhan RM40 bilion seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 31 Mei lalu, terdapat tiga matlamat utama yang disasarkan iaitu mempertingkat kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan, kesemuanya bertujuan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat situasi COVID-19.

Warga tempatan, Noor Salfina Hasmawi, 23, menyatakan pandangan positifnya tentang pengagihan BPR Tambahan 3.0 tersebut.

“Saya merupakan salah seorang penerima yang layak dari kategori Bujang sejak pertama kali bantuan BPR diumumkan pada awal PKP semasa tahun 2020.

“Terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa berusaha membantu rakyat yang berdepan dengan masalah ekonomi dan terjejas punca pendapatan disebabkan situasi pandemik yang masih berlarutan ini,” katanya yang bekerja sendiri.

Tambah Salfina, dirinya amat bersyukur kerana di samping memperoleh bantuan daripada kerajaaan persekutuan, keluarganya yang menetap di Sematan turut menerima bantuan daripada kerajaan Sarawak menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 kerana ibunya yang merupakan peniaga kecil kedai runcit dan layak menerima bantuan Geran Khas BKSS.

Sementara itu, Muhamad Ikhtiari Ibrahim, 29, ketika dihubungi menyatakan beliau amat lega dengan pengagihan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan 3.0 oleh kerajaan kepada golongan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sepertinya kerana sumbangan tunai yang diterima berjumlah RM1500 dapat digunakan sebagai modal tambahan bagi perniagaan makanan atas talian yang Ikhtiari usahakan bersama isterinya.

“Dengan adanya bantuan GKP 3.0 ini, saya dapat membuat pusingan modal bagi hasil barangan jualan makanan kerana tidak dinafikan, keuntungan dari hasil jualan makanan memang agak tidak menentu maka kegunaan wang bantuan dari kerajaan inilah yang telah memudahkan urusan pencarian rezeki saya sekeluarga.

“Setakat ini, RM1000 telah dimasukkan ke akaun pada bulan ini (Jun) dan selebihnya lagi pada bulan Julai hadapan sebanyak RM500,” kongsi Ikhtiari.

Selain itu, pemuda yang berasal dari Kampung Bunga Rampai, Batu Kitang ini menyatakan bapanya juga merupakan antara penerima BPR Tambahan 3.0 dan beliau sekeluarga berterima kasih atas keprihatinan kerajaan semasa yang cakna dengan keperluan  ekonomi rakyat yang terkesan ketika pandemik ini.

Tempoh permohonan rayuan BPR dilanjutkan sehingga 30 Jun ini bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelumnya, yang mana pemohon yang memperoleh kelulusan bagi rayuan kelak layak menerima bayaran BPR Tambahan tersebut yang akan disalurkan bermula Ogos akan datang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda