
Laporan/foto: Nur Syafiq Zaman (Tampin)
TAMPIN, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah COVID-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) daerah Tampin telah membuka peluang kepada masyarakat setempat terutamanya golongan generasi muda serta belia untuk menyertai sukarelawan pengurusan jenazah.
Menurut Pegawai Agama Islam daerah Tampin Mohd Yazid Saad, peranan Skuad Tajhiz ini adalah untuk menguruskan jenazah pesakit COVID-19 yang beragama islam mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.
“Pada awalnya proses pengurusan jenazah ini hanya terdiri daripada kakitangan JHEAINS sahaja, akan tetapi sejak kes kematian akibat COVID-19 semakin meningkat, pihak kami telah mengambil inisiatif untuk mencari sukarelawan yang ingin membantu dalam melaksanakan tuntutan fardu kifayah ini.
“Semua sukarelawan yang terlibat akan dianugerahkan sijil penghargaan khas daripada JHEAINS,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, proses pengurusan jenazah yang dikendalikan skuad ini adalah bermula daripada bahagian forensik hospital sehinggalah ke tanah perkuburan.
“Untuk proses pengurusan jenazah di bahagian forensik hospital, skuad ini akan membantu untuk urusan tayammum jenazah (bersuci), mengkafan, solat jenazah dan pemindahan jenazah ke dalam keranda dan van jenazah.
“Manakala ketika di tapak perkuburan pula, skuad ini akan memastikan liang lahad telah disediakan bagi urusan pengebumian, menurukan jenazah dan mengambus liang lahad,” tambahnya.
Mohd Yazid berkata sehingga kini jumlah sukarelawan Skuad Tajhiz Tampin telah mencecah hampir 30 orang yang terdiri daripada golongan belia serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sekitar daerah ini.
“Pengambilan sukarelawan ini adalah mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah ditetapkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
“Saya berharap agar sukarelawan di daerah ini akan meningkat dan kerjasama semua pihak adalah sangat penting dalam memastikan segala proses pengurusan jenazah berjalan dengan sempurna dan selamat,” katanya.
-FF