
Laporan/foto : Muhammad Naim (Jempol)
JEMPOL, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah buat pertama kalinya melancarkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di daerah ini pagi tadi.
PPV bergerak yang diadakan di Kampung Lonek mensasarkan sebanyak 10 kampung terdekat untuk menghantar penduduk setempat bagi menerima vaksin.
Program PPV bergerak ini akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga hari khamis dengan jumlah penerima vaksin seramai 450 orang.
Menurut Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) daerah Jempol, Dr Ismul Adham Zaini berkata, PPV bergerak ini mensasarkan warga emas, golongan kurang upaya dan juga pesakit yang terlantar.
“Pihak kami mengambil pendekatan memecahkan kepada 2 kumpulan iaitu pasukan bergerak rumah ke rumah dan pasukan kedua adalah di balai raya.
“Kami juga sedang merangka dan merancang PPV bergerak untuk masyarakat orang asli pula dan dengan pelaksanaan PPV bergerak ini diharapkan lebih ramai lagi yang akan mendaftar bagi menerima vaksin kerana kita sedaya upaya ingin memudahkan segala urusan serta pergerakan mereka yang tidak mampu untuk ke Pusat Pemberian Vaksin,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Program PPV bergerak pagi tadi turut dihadiri oleh ahli parlimen Jempol merangkap Pengerusi RISDA Malaysia, Datuk Mohd Salim Shariff yang membantu menyediakan kenderaan milik RISDA untuk membawa penerima vaksin ke balairaya.
Menurut beliau ianya adalah sebagai satu usaha untuk menghargai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus lumus untuk memastikan semua masyarakat menerima vaksin.
Sementara itu, bagi Zarina Abdul Aziz 50, beliau sangat bersyukur kerana pihak Pejabat Kesihatan Daerah Jempol membuat program seperti ini,kerana beliau adalah salah seorang pemegang kad orang kurang upaya(OKU) dan berkerusi roda.
“Kalau tidak ada program seperti ini mungkin saya tidak akan menerima vaksin kerana tidak dapat ke PPV kerana saya tidak mahu menyusahkan adik kerana kekangan waktu menyebabkan adik tidak sempat untuk menghantar,” ujar Zarina.
-FF