Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Peniaga Cekal Berniaga dalam Tempoh PKP Penuh

By 16 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nasrul Abdul Hamid (Rembau)

REMBAU, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Meskipun kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh Fasa Pertama dan dilanjutkan lagi bagi tempoh dua minggu bermula 15 Jun 2021 kerana laporan jumlah kes harian yang tinggi dicatatkan, aktiviti perniagaan tetap dibenarkan.

Menurut penjaja jalanan yang mengusahakan penjualan nasi lemak, Siti Robiah Md Jani, 47, berkata dia bersyukur kerana kerajaan membenarkan aktiviti penjaja makanan dalam tempoh PKP Penuh.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dengan membenarkan saya untuk berniaga dan kebenaran ini dapat menampung perbelanjaan dan kehidupan seharian saya.

“Dalam tempoh PKP Penuh ini juga saya bersyukur penjualan nasi lemak tidak terjejas teruk kerana pelanggan tetap saya adalah terdiri daripada barisan hadapan negara dan tempoh berniaga adalah sekitar tiga jam sahaja pada waktu pagi bermula pukul 8.00 pagi sehingga pukul 11.00 pagi,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini semalam.

Menurut Robiah, masyarakat perlu patuh dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dengan memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan awam seperti pasaraya, kerap mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter.

“Situasi pandemik COVID-19 di negara kita masih lagi amat membimbangkan dengan kes positif harian masih lagi dalam lingkungan empat digit.

“Sememangnya pelanjutan tempoh PKP bertujuan untuk mengawal kes positif COVID-19 daripada terus meningkat,” katanya.

-FF

Tinggalkan komen anda