
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Rata-rata rakyat di negeri ini berasa gembira dan bersyukur apabila bermula 1 Julai ini mereka akan menikmati caj wad kelas ketiga secara percuma di semua hospital kerajaan seluruh Negeri Terengganu.
Dalam satu kenyataan media Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Dr Alias Razak, berkata faedah dari program itu akan dinikmati oleh 1.2 juta rakyat Terengganu.
“Setelah melalui beberapa proses agak panjang rundingan kerajaan negeri dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Pusat akhirnya berjaya dilaksanakan.
“Meskipun begitu, golongan yang mendapat faedah adalah rakyat negeri ini sahaja dan tidak terpakai kepada pasangan bukan rakyat Terengganu,” katanya.
Dr Alias turut memaklumkan bahawa golongan yang menerima faedah program tersebut ialah semua pemegang kad pengenalan Terengganu merangkumi caj katil, makan minum dan rawatan.
“Semua caj ini adalah percuma dan ditanggung oleh kerajaan negeri melibatkan jumlah kira-kira kos RM3.7 juta setahun.
“Berdasarkan rekod yang didapati jumlah rakyat yang mendapatkan rawatan dan menggunakan wad dalam tempoh setahun adalah sekitar 90 ribu orang,” katanya.
Pekerja Swasta, Nuraziarini Ghazali, 34, berkata dengan pengumuman berkenaan beliau berasa gembira dan bersyukur dan semua sedia maklum negara ketika ini sedang berjuang menghadapi pandemik COVID-19, dengan bantuan berkenaan dapat meringankan sedikit beban rakyat.
“Ketika pandemik ini ramai yang tidak sihat dan dimasukkan ke dalam wad, dalam masa yang sama, ramai juga yang kehilangan pekerjaan dan tidak mampu untuk membayar kos perubatan meskipun caj yang dikenakan tidak semahal caj di hospital swasta.
“Pengumuman ini bertepatan dengan situasi kritikal ketika ini, hasrat kerajaan negeri yang begitu komited dalam memastikan rakyat tidak terbeban daripada kos perubatan dan dalam masa yang sama rakyat mendapat rawatan yang sewajarnya di hospital,” katanya ketika ditemui selepas mendapatkan vaksin di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV), Sekolah Kebangsaan Kesom, di sini semalam.
Menurut Nor Zilawati Bidin, 45, beliau yang merupakan suri rumahtangga merasakan pelaksanaan berkenaan akan membantu ribuan isi rumah yang memerlukan khususnya golongan di bawah B40 ketika ini.
“Rakyat di negeri ini bertuah apabila kerajaan negeri melaksanakan bantuan seperti ini ketika semua pihak terkesan daripada pelbagai segi terutamanya dari segi kewangan keluarga.

Nor Zilawati merasakan bantuan perubatan berkenaan akan membantu ribuan isi rumah yang memerlukan ketika ini.
“ Saya percaya rakyat di negeri ini sangat gembira apabila mereka bakal menikmati caj wad percuma bermula awal Julai ini,” katanya.
Senada cadangan tersebut, Nur Syahirah Mohamad, 30, berkata beliau yang merupakan anak jati Terengganu merasakan pendekatan pemberian bantuan dari segi perubatan tersebut sangat tepat dengan keadaan ketika ini.
“Sekarang ini musim COVID-19, para peniaga kecil, buruh, pekerja yang bekerja sendiri dan sebagainya tidak mempunyai sebarang punca pendapatan.
“Mereka akan terbeban dengan caj hospital, sehubungan itu pemberian caj percuma adalah tepat,” katanya.
-ii-