Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Jumlah Dagangan Malaysia Januari-Mei Meningkat 26 Peratus kepada RM867.4 Bilion, Lebihan Dagangan Melonjak 112.2 Peratus

By 28 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 26 peratus tahun ke tahun kepada RM867.4 bilion dalam tempoh lima bulan pertama 2021, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Lebihan dagangan pula melonjak 112.2 peratus kepada RM92.79 bilion dengan eksport mengembang 31.1 peratus kepada RM480.09 bilion sementara import meningkat 20.1 peratus kepada RM387.31 bilion.

Kementerian itu berkata prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan trend peningkatan pada Mei 2021 dengan jumlah perdagangan berkembang sebanyak 48.7 peratus kepada RM170.88 bilion berbanding Mei 2020.

“Eksport melonjak 47.3 peratus kepada RM92.31 bilion, pertumbuhan tahun ke tahun yang kesembilan bulan berturut-turut direkodkan sejak September 2020. Import naik 50.3 peratus kepada RM78.57 bilion dan lebihan dagangan mengukuh 32.3 peratus kepada RM13.74 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MITI menambah pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh permintaan yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) khususnya semikonduktor yang diperlukan untuk memenuhi keperluan bekerja dari rumah serta pendigitalan perniagaan, keluaran getah serta keluaran petroleum.

Eksport ke kesemua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan pertumbuhan positif..

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing berkurangan sebanyak 10.4 peratus, 12.6 peratus, 7.8 peratus dan 32.5 peratus.

Mengulas lanjut mengenai perdagangan dengan ASEAN, kementerian itu berkata perdagangan berkembang 54.2 peratus tahun ke tahun kepada kepada RM43.33 bilion, menyumbang 25.4 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport pula telah mengekalkan pertumbuhan dua digit sejak Februari 2021, meningkat sebanyak 49.4 peratus kepada RM25.66 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum serta petroleum mentah.

Sementara itu, import dari ASEAN meningkat 61.8 peratus kepada RM17.67 bilion.

Dalam tempoh lima bulan pertama 2021, perdagangan dengan ASEAN berkembang 29.5 peratus tahun ke tahun kepada RM224.94 bilion.

“Eksport ke rantau ini meningkat 27 peratus kepada RM134.88 bilion disokong oleh pertambahan eksport barangan E&E, kimia dan produk bahan kimia, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan logam. Import dari ASEAN meningkat 33.4 peratus kepada RM90.06 bilion,” tambahnya.

Bagaimanapun, berbanding April 2021, perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut 13 peratus, 15.9 peratus dan 8.6 peratus.

Sementara itu, perdagangan dengan China bagi tempoh Januari hingga Mei 2021 berkembang sebanyak 34.1 peratus kepada RM161.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2020.

MITI berkata eksport naik 30.5 peratus kepada RM71.31 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan perkilangan logam serta LNG manakala import dari China meningkat 37.2 peratus kepada RM90.28 bilion.

Pada Mei 2021, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merangkumi 67.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 51.8 peratus tahun ke tahun kepada RM115.8 bilion.

Eksport ke rakan dagang FTA naik 46.6 peratus kepada RM62.67 bilion dan import melonjak 58.5 peratus kepada RM53.13 bilion.

Bagi tempoh Jan-Mei, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 67.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 26.2 peratus tahun ke tahun kepada RM582.03 bilion.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda