Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Defisit Belanjawan 2021 Malaysia Diunjur 6.8 Peratus daripada KDNK

By 6 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Maybank 

PUTRAJAYA, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Maybank Investment Bank menyemak semula unjuran defisit belanjawan 2021 Malaysia kepada 6.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 6.2 peratus, sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonominya, Suhaimi Ilias berkata ini berikutan langkah kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi baharu pada minggu lepas.

“Kadar inflasi dalam tempoh lima bulan pertama juga telah kembali mencecah 2.1 peratus dan kami menyasarkan kadar inflasi tahun penuh 2021 pada 2.6 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ASEAN 2021 Country Week: Market Strategy & Economic Outlook (Minggu Negara ASEAN 2021 : Strategi Pasaran & Unjuran Ekonomi) Maybank Invest mengenai prospek pasaran bagi separuh kedua 2021 yang diadakan secara maya di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Menurut Suhaimi, unjuran KDNK itu mengambil kira kekangan dan kawalan pergerakan di Malaysia yang menyaksikan Maybank mengurangkan unjuran pertumbuhan tahun ini kepada 4.2 peratus daripada 5.1 peratus sebelum ini.

“Kami percaya KDNK akan menunjukkan penurunan ketara pada Mei dan Jun susulan kawalan pergerakan lebih ketat akibat penularan COVID-19. Ini hanya mengheret turun proses pemulihan ekonomi,” katanya.

Suhaimi berkata, pemulihan tidak sekata dalam sektor ekonoimi itu lebih ketara bagi bukan pembuatan serta perkhidmatan seperti makanan dan minuman (F&B), penginapan, penerbangan dan pelancongan yang masih menyaksikan penyusutan.

“Sektor seperti pembuatan berorientasikan eksport, kewangan, insurans, komunikasi dan teknologi kekal mencatat pertumbuhan positif manakala industri perdagangan borong, runcit dan pemotoran berkemungkinan terjejas akibat langkah kawalan pergerakan,” katanya.

Beliau berkata, KDNK global meningkat semula sebanyak 2.8 peratus pada suku pertama tahun ini dan Maybank menjangkakannya meningkat kepada 6.1 peratus tahun ini.

Angka tersebut adalah trajektori lebih tinggi berbanding anggaran awal 5.8 peratus, sebahagian besarnya didorong oleh semakan semula terhadap ekonomi Amerika Syarikat yang diunjur tumbuh 6.4 peratus berbanding anggaran awal pada 5.8 peratus.

Menyentuh aspek pembangunan dasar dan prospek, beliau berkata Maybank masih berpendirian bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus sehingga akhir tahun ini, sebahagiannya berdasarkan andaian inflasi sederhana akan berlaku semula.

Beliau berkata, terdapat “penurunan pasif” dalam bentuk OPR benar negatif yang mana BNM turut meneliti keadaan kewangan dan beberapa petunjuk yang dipantau kerajaan termasuk lembaran hasil negara, lembaran kredit serta hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun yang berkurangan baru-baru ini.

“Petunjuk-petunjuk ini tidak diperketat (setakat ini). Selain itu, jurang output turut negatif dan kami menjangkakan keadaan kekal sedemikian sehingga akhir tahun ini berikutan persekitaran pasaran kerja yang perlahan dan peningkatan kadar pengangguran akibat pelaksanaan langkah-langkah kawalan pergerakan.

“Secara keseluruhannya, kami berpendapat bahawa jurang output persekitaran pasaran kerja yang negatif itu menunjukkan bahawa inflasi teras itu tepu. Ianya rendah dan stabil di tengah-tengah keadaan turun naik inflasi teras,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda