
Laporan/foto: Ahmad Noramin Idris/Ikhwan Nasrin Khairudin (Perak Tengah)
PARIT, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) komited dalam menyampaikan hebahan kepada penduduk setempat termasuklah menyantuni golongan minoriti penduduk Orang Asli Semai dengan menggunakan dialek suku kaum tersebut di Kampung Perah, Belanja.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Suriani Ghazali, hebahan yang dibuat dalam bahasa suku Semai ini adalah salah satu langkah inovatif dan pendekatan lebih mesra daripada pihak jabatan untuk bersama masyarakat Orang Asli Suku Semai di daerah ini.
“Ma e gah semuak? Harap ya bunor, jis adeh en hu sureh berkenaan pandemik COVID-19 kek tengah melanda seluruh dunia adeh, hek hont la hi joi ma ta le SOP kek bisureh ya kerajaan sekuk pakai ya topeng separuh renis, yang bermaksud Apa khabar semua? Semoga baik-baik saja, hari ini saya ingin memberitahu berkenaan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, kita hendaklah mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti memakai topeng separuh muka,” antara teks hebahan COVID-19 dalam bahasa Orang Asli, dialek suku Semai yang dilaksanakan oleh Unit Hebahan Pejabat Penerangan Daerah Perak Tengah di perkampungan Orang Asli suku Semai.
Menurut Suriani, hebahan suara berdurasi hampir dua minit ini memfokuskan arahan pematuhan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pendaftaran vaksin COVID-19.

Laluan berhutan perkampungan Orang Asli suku Semai di Kampung Perah terletak kira-kira lebih 30 kilometer dari bandar terdekat iaitu bandar Seri Iskandar.
“Hebahan awam COVID-19 dari Jabatan Penerangan ini sedang giat dilakukan memandangkan kadar pematuhan penguatkuasaan SOP di kawasan luar bandar termasuk di perkampungan Orang Asli di seluruh negara masih rendah,” katanya.
Menariknya, lantunan suara hebahan COVID-19 ini merupakan pemilik kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Perak Tengah sendiri yang berketurunan Orang Asli suku Semai.
Pegawai lapangan, Hasbella Hasim berkata peluang menuturkan dialek dari suku keturunannya menambahkan lagi semangat untuk terus komited berkhidmat demi negara.
“Saya berasa teruja kerana peluang ini mampu memperkenalkan bahasa suku Semai kepada masyarakat yang mungkin jarang sekali atau tidak pernah mendengar bahasa suku Semai selain meningkatkan kesedaran dalam memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemu ramah di Pejabat Daerah Perak Tengah, di sini semalam.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Perah Anjang Amat Panjang, berkata inisiatif Pejabat Penerangan Daerah Perak Tengah melaksanakan hebahan berkaitan COVID-19 dalam Bahasa Semai amatlah dihargai kerana ia memberi mesej positif kepada masyarakat Orang Asli suku Semai berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan SOP berkaitan COVID-19.
“Saya berbesar hati dengan inisiatif yang dilakukan pihak Jabatan Penerangan kerana hebahan dapat dilakukan dengan lebih jelas, mesra dan mudah difahami,” katanya ketika dikunjungi unit hebahan Pejabat Penerangan Daerah Perak Tengah, baru-baru ini.
Inisiatif hebahan khas dalam bahasa Orang Asli ini adalah selaras dengan gesaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyeru agar penerangan mengenai PICK dalam kalangan Orang Asli dipertingkatkan.
Sebelum ini, unit hebahan Pejabat Penerangan Perak Tengah membuat hebahan dalam loghat Perak sehingga tular di laman media sosial.
~RJ~