Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

DBP Pertingkat Perkhidmatan Digital Interaktif

By 13 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini dalam usaha menyediakan lebih banyak perkhidmatan dan bahan penerbitan secara digital yang lebih interaktif sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan Bahasa Melayu, kata Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Beliau berkata seiring dengan kemajuan bidang teknologi digital dan penggunaannya yang meluas khususnya dalam kalangan generasi muda, institusi itu perlu berevolusi agar semua perkhidmatannya dapat diberikan mengikut keperluan semasa rakyat.

Jelasnya, langkah itu turut bertepatan dengan situasi ketika ini yang menuntut lebih banyak perkhidmatan dilakukan secara dalam talian, berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

“Misalnya bahan bacaan kanak-kanak, selain perkataan kita boleh sertakan dengan animasi, bunyi dan visual yang menjadikan proses pembacaan lebih menarik, sekali gus meningkatkan semula budaya membaca walaupun menerusi peranti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan secara maya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk ‘Dekad Bahasa Kebangsaan Dalam Kepesatan Dunia Digital’, malam tadi.

Bagi mendepani cabaran itu, Abang Sallehuddin berkata DBP juga sedang giat melatih semua petugas dan pegawainya dalam kemahiran teknologi digital agar perkhidmatan dan bahan penerbitan dalam talian yang berkualiti dapat diberikan.

Katanya, beberapa program dalam talian seperti seminar bahasa yang dianjurkan DBP mendapat sambutan amat baik, sekali gus menjadi panduan kepada DBP dalam proses pendigitalan perkhidmatan.

“Penyertaan (dalam talian) amat baik berbanding seminar secara konvensional atau bersemuka sebelum ini dan kita akan memperbanyakkan program seumpama itu selain fokus meningkatkan jumlah penerbitan digital selepas ini,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda