
Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Kulai)/Pejabat Daerah Kulai
KULAI, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Southern Volunteers yang diilhamkan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjaya menerajui aktiviti sukarelawan yang melibatkan golongan belia di negeri ini bagi bersama-sama memerangi COVID-19.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi, majoriti belia di negeri ini telah mula bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan bagi membantu para petugas barisan hadapan di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV).
“Southern Volunteers turut membuat pendaftaran penerima vaksin di setiap daerah di negeri ini bagi memastikan sasaran 80 peratus imuniti kelompok dapat dicapai.
“Sehingga 2 Julai, daerah Kulai merupakan daerah kedua selepas Muar yang mencatatkan pendaftaran vaksin melebihi 80 peratus iaitu 80.5 peratus dengan jumlah sebanyak 175,216 orang,” katanya ketika ditemui semasa lawatan kerja ke Daerah Kulai di Pejabat Southern Volunteers Daerah, di sini baru-baru ini.

Datuk Onn Hafiz (tengah) bersama-sama dengan sukarelawan Southern Volunteers Daerah Kulai di RTC Kulai.
Tambah beliau, jumlah sasaran pendaftaran vaksin akan terus meningkat sehingga hujung bulan ini.
Terdahulu, beliau telah melepaskan Skuad Jelajah Sukarelawan Southern Volunteers Daerah Kulai yang akan membantu program vaksinasi di PPV yang ditubuhkan di daerah ini dari segi pendaftaran penerima vaksin.
Pada sesi lawatan kerja ke daerah ini, beliau telah melawat ke Gobok Rezeki RTC Kulai bagi melihat sesi pendaftaran vaksin yang dikendalikan oleh sukarelawan Southern Volunteers dan turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan di Kompleks Penghulu Mukim Sedenak.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kulai Zainor Adani, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Johor Onn Jabbar, serta Penghulu-penghulu Mukim Daerah Kulai.
-NI-