Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMAPerak

PPV Kedua Perak Tengah Mula Beroperasi

By 5 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ahmad Noramin Idris/Ikhwan Nasrin Khairudin (Perak Tengah)

PASIR SALAK, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Penantian para penduduk sekitar Kampung Gajah untuk pembukaan sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berakhir setelah ia mula dibuka di Dewan Besar Felcra Seberang Perak.

Menurut Pegawai Daerah Perak Tengah Rozalinawati Che Roslee, PPV ini dijangka dapat menangani masalah jarak kedudukan lokasi PPV sedia ada yang terletak jauh di Seri Iskandar.

“Sebelum ini, penduduk Kampong Gajah dan kawasan berhampiran terpaksa menghadapi kesukaran untuk ke PPV Seri Iskandar yang terletak jauh melebihi 45 kilometer atau hampir satu jam masa perjalanan dari sini.

“Selain itu, PPV kedua ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan jumlah penerima vaksin yang sebelum ini hanya tertumpu di PPV Seri Iskandar,” katanya ketika ditemui membuat tinjauan di PPV tersebut, di sini hari ini.

Tambah Rozalinawati, pada hari pembukaan, kapasiti maksimum di PPV untuk penerima datang menerima suntikan adalah seramai 200 orang dengan 25 petugas terdiri daripada Pejabat Kesihatan Daerah Perak Tengah serta dibantu agensi-agensi seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA.

Ruang dalaman dewan yang luas dan lengkap dengan fasiliti bagi kemudahan dan keselesaan para petugas dan penerima vaksin.

Ruang dalaman dewan yang luas dan lengkap dengan fasiliti bagi kemudahan dan keselesaan para petugas dan penerima vaksin.

“Seramai 22 sukarelawan terdiri daripada petugas dari Jabatan Belia dan Sukan, MyVAC (Malaysia Vaccine Support Volunteers), FELCRA dan Skuad Combi yang membantu dalam melancarkan pengoperasian PPV di sini mengikut sistem tugasan penggiliran setiap hari.

“PPV ini dijangka dapat meningkatkan lagi jumlah pendaftar dan penerima vaksin serta memastikan capaian kadar pemvaksinan lebih pantas dan menyeluruh terutama di kawasan luar bandar.

“Pembukaan PPV kedua ini adalah berdasarkan kepada kecukupan bekalan vaksin yang diterima, kecekapan petugas kesihatan, sukarelawan dan jentera yang bertugas,” katanya.

~RJ~

Tinggalkan komen anda