
Laporan/foto: Intan Saziana/Muhammad Hariz (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Para Penduduk Perkampungan Orang Asli Cheros Pos Telanok teruja dengan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Khas yang akan memudahkan mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Menurut Tok Batin Kampung Cheros Rizat Biyah, beliau amat bersyukur apabila Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands sudi membuka PPV Khas di kampung ini yang secara tidak langsung akan menarik minat lebih ramai penduduk di sini untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Inisiatif seperti ini yang dinanti-nantikan oleh para penduduk di sini kerana majoriti daripada kami tidak mempunyai kemudahan pengangkutan untuk pergi ke PPV di Puncak Arabella Tanah Rata yang mana perjalanan untuk ke sana mengambil masa kira-kira satu jam dari sini.
“Sebelum ini saya perlu ke PPV di bandar Tanah Rata untuk menerima suntikan vaksin dos pertama, dengan faktor jarak yang jauh dan kemudahan pengangkutan yang terhad menyebabkan rata-rata penduduk di sini kurang berminat untuk mendapatkan vaksin,” katanya ketika ditemui di PPV Kampung Cheros Pos Telanok, di sini hari ini.

Tok Batin Rizat (baju putih) turut menerima dos kedua suntikan vaksin di PPV Khas Kampung Cheros Pos Telanok.
Beliau berharap dengan pembukaan PPV ini dapat meningkatkan lagi jumlah masyarakat di kawasan pedalaman dan luar bandar khususnya Orang Asli untuk menerima suntikan vaksin.
“Dengan pengambilan vaksin secara tidak langsung kami telah menyahut saranan dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan mencapai imuniti kelompok,” ujarnya.
Salah seorang penerima yang ditemui Hamidah Abu, 35, berkata pada permulaannya beliau kurang yakin dengan keberkesanan vaksin ini dan risau ia akan memberi kesan kepada anaknya yang masih lagi menyusu dengannya.
“Dengan penularan berita palsu yang semakin berleluasa menyebabkan saya rasa takut dengan vaksin ini.
“Namun dengan penjelasan dan penerangan yang diberikan oleh para petugas barisan hadapan di PPV Kampung Orang Asli Cheros hari ini telah mengubah pandangan saya terhadap keberkesanan vaksin dalam melindungi diri saya dan ahli keluarga dari jangkitan wabak COVID-19,” jelasnya.
-AH-