Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

[KEMAS KINI] Merdeka@Komuniti: Santai Siswa Wacana Semai Semangat Patriotisme

By 22 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Syamsul Bahari Shukor (Daerah Timur Laut)

GEORGETOWN, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Pulau Pinang kini dalam usaha secara digital melalui program Merdeka@Komuniti: Santai Siswa “Siswa Penggerak Patriotisme” untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama mahasiswa-mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, berkata golongan muda termasuk siswa mempunyai tafsiran berbeza terhadap patriotisme yang melalui pendekatan alam maya dan menggunakan media sosial secara kreatif.

“Golongan muda ini harus dilibatkan dalam urusan perundingan dan penyertaan dalam membuat keputusan.

“Penggerak patriotisme boleh memikul tanggungjawab tersebut jika diberikan ruang dan peluang yang saksama untuk memastikan pemikiran mereka dihargai, diiktiraf dan dihormati,” katanya yang menjadi panel program di kampus tersebut, di sini semalam.

Dr. Haniff Hassan (kiri) menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan Profesor Dr. Sivamurugan A/L Pandian (kanan).

Dr. Haniff Hassan (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Profesor Dr. Sivamurugan Pandian.

Tambah beliau, prinsip-prinsip rukun negara inilah yang menjadi asas kepada pembentukan negara kita dan akhirnya menjurus kepada tiga nilai utama iaitu memahami satu sama lain, menghormati perbezaan yang wujud serta menerima perbezaan itu sebagai sesuatu yang harus diiktiraf.

Pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM Abdullah Nudin, berkata peluang kerjasama ini sebagai batu loncatan untuk mempererat hubungan antara pihak USM khususnya mahasiswa dan pihak JaPen.

“Saya dan rakan-rakan juga berjaya mengasah kemahiran insaniah terutamanya untuk berkomunikasi dan berunding selain belajar tentang kemahiran membuat keputusan bersama-sama pihak JaPen,” katanya.

Pengarah Penerangan Negeri Pulau Pinang Dr. Haniff Hassan, berkata generasi muda merupakan sumber modal insan terbesar negara dan berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Penolong Pengarah JaPen Nurazreen Abd. Rahman (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Abdullah Nudin (kiri) dan Mohammad Izad Ahmad Nazir (kanan).

Penolong Pengarah JaPen Nurazreen Abd. Rahman (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Abdullah Nudin (kiri) dan Mohammad Izad Ahmad Nazir (kanan).

“JaPen komited memastikan potensi dan keupayaan generasi pelapis ini sebagai pemacu pembangunan negara pada masa hadapan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Melalui medium maya, program Merdeka@Komuniti: Santai Siswa telah disiarkan pada 14 September 2021 melalui saluran YouTube Santai Siswa bagi memperkukuhkan lagi jaringan komunikasi antara mahasiswa dan kerajaan dalam menyemai semangat patriotisme dan perpaduan melalui pendekatan norma baharu,” katanya.

Turut serta, mahasiswa USM Mohammad Izad Ahmad Nazir, moderator Program Muhamad Hafizi Mohd Hanafi dan Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JaPen Nurazreen Abd. Rahman.

-ii-

Tinggalkan komen anda