
Laporan/foto: Khairul Othman/Parimala Devi (Jelebu)
JELEBU, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Malaysia pada hari ini adalah kesinambungan Hari Kebangsaan yang diraikan pada 31 Ogos yang lalu.
Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Program Merdeka@Komuniti Semarak Bulan Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia 2021 dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Jelebu yang diadakan ini mendapat sambutan baik daripada warga Jelebu.
“Mengekalkan pendekatan yang sama semasa Sambutan Hari Kebangsaan bulan lalu iaitu melibatkan aktiviti konvoi berkenderaan ke seluruh Parlimen Jelebu dimulakan di kawasan Titi dan berakhir di Pekan Pertang.
“Ianya merupakan manifestasi semangat perpaduan yang telah lama diamalkan oleh masyarakat di Parlimen Jelebu sehingga membentuk sebuah ‘Keluarga Besar Jelebu’ yang cukup sinonim dengan keakraban sesama penduduk dalam memahami erti Sambutan Hari Malaysia.
“Secara keseluruhanya, sebanyak 250 bakul makanan telah diagihkan di sepanjang program ini dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya golongan B40 dan miskin tegar di kawasan Jelebu tanpa mengira kaum dan bangsa,” katanya yang ditemui sempena program di Pekan Titi, di sini baru-baru ini.
Pegawai Penerangan Daerah Jelebu Abd Halim Jumat, berkata Program Merdeka@Komuniti Semarak Bulan Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia 2021 ini bukan sahaja melibatkan aktiviti konvoi sahaja malah pada masa yang sama aktiviti Pendakian Hari Malaysia mendaki Bukit Batu Beras juga turut dijalankan serentak.
“Datuk Seri turut memberi sumbangan bagi mencantikkan dan menaik taraf kawasan tasik Bukit Batu Beras yang berpotensi menjadi hub rekreasi pelancongan setempat,” katanya.
-FF