Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

[KEMAS KINI] KRT Medium Semai Semangat Patriotik

By 19 September 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Hajar Kamis/Muhammad Luqmanul Hakim Azmi (Seremban)

SEREMBAN, 19 Sep (Malaysiakatif) – Pejabat Penerangan Daerah Seremban bersama-sama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Nusari Bayu 2 meriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan ke-64 dan sambutan Hari Malaysia 2021 melalui Program Info on Wheels Jabatan Penerangan.

Pengerusi KRT Taman Nusari Bayu 2 Mursyidee Kamal, berkata program tersebut diadakan sebagai kemuncak kepada sambutan Bulan Kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia di kawasan tersebut.

“Walaupun banyak kekangan kerana setiap penganjuran program perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kami tetap gembira dan bersyukur kerana dapat menyambut Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia dengan meriah bersama-sama pada hari ini,” katanya ketika ditemui di Taman Nusari Bayu 2, di sini baru-baru ini.

Kuiz Kemerdekaan yang dijalankan oleh Pejabat Penerangan Seremban.

Kuiz Kemerdekaan yang dijalankan oleh Pejabat Penerangan Seremban.

Tambah Mursyidee, antara pengisian program pada hari ini adalah menyampaikan sumbangan dan kotak rezeki oleh KRT dan Pejabat Penerangan Daerah Seremban kepada penduduk yang terkesan akibat wabak COVID-19 serta penyampaian hadiah kepada pemenang bagi pertandingan yang telah diadakan sepanjang Bulan Kemerdekaan.

“Penyampaian kotak rezeki yang disampaikan pada hari ini akan diberi kepada penduduk yang terkesan seperti hilang punca pendapatan dan kehilangan ahli keluarga akibat wabak COVID-19.

“Pemenang bagi pertandingan sepanjang Bulan Kemerdekaan juga akan menerima hadiah dan keputusannya kita umumkan dalam majlis sambutan ini,” katanya.

Pegawai Penerangan Daerah Seremban Fauziah Abdullah, berkata beliau amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama bersama KRT dan Persatuan Penduduk dalam menjayakan program kemasyarakatan seumpama ini.

“Kami akan sentiasa menyokong dan memberi kerjasama erat kepada semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“KRT juga dilihat sebagai salah satu medium terbaik dalam penyampaian maklumat dan menyemai semangat cintakan negara kepada rakyat kerana mereka sentiasa dekat dan berada dalam kelompok masyarakat setempat.

“Selain nyanyian lagu patriotik dan kuiz kemerdekaan, acara penyerahan kad ucapan, kek merdeka dan hamper bagi menghargai petugas barisan hadapan menjadikan sambutan yang julung-julung kalinya diadakan di sini ini lebih bermakna kepada semua yang terlibat,” katanya.

-FF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda