PUTRAJAYA, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini mengumumkan peluasan rangka kerja penyelesaian ringgit dan baht, berkuat kuasa 1 Disember, 2021.
Dalam satu kenyataan bersama, ia berkata rangka kerja yang mutakhir ini termasuk meluaskan segmen pengguna yang layak dengan mengambil kira rakyat Malaysia dan Thailand yang menetap sama ada di Thailand atau Malaysia.
Rangka kerja ini turut merangkumi dasar pertukaran asing tambahan yang fleksibel, misalnya keperluan dokumen yang lebih ringkas, tambahnya.
“Peluasan ini merupakan sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk menggunakan mata wang tempatan secara lebih meluas bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara Malaysia dengan Thailand
“Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan antara Malaysia dengan Thailand dilancarkan buat kali pertama pada 14 Mac, 2016 sebelum diperluas pada 2 Januari, 2018, selaras dengan Memorandum Persefahaman antara BNM dengan BOT yang ditandatangani pada 27 Ogos, 2015,” kata kenyataan itu.
Timbalan Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata peluasan ini akan memberikan akses yang lebih meluas kepada perkhidmatan kewangan dalam denominasi ringgit atau baht bagi individu dan juga perniagaan di kedua-dua negara.
“Melalui rangka kerja tersebut, sekarang rakyat Thailand yang menetap di Malaysia juga boleh menggunakan perkhidmatan ini.
“Peluasan ini akan merangsang kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara pada masa hadapan,’’ tambah beliau.
Sementara itu, Timbalan Gabenor BOT Mathee Supapongse pula berkata peluasan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht yang mutakhir ini akan memberikan manfaat kepada rakyat dan perniagaan di Malaysia dan Thailand.
“’Ini akan memudahkan lagi transaksi kewangan merentas sempadan termasuk melalui jalinan pembayaran respons pantas (QR) rentas sempadan antara kedua-dua negara yang dilancarkan baru-baru ini.
“Kami yakin usaha ini akan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas serta meningkatkan integrasi kewangan di rantau ASEAN,” tambah beliau.
Susulan peluasan yang terbaharu ini, BNM dan BOT juga telah melantik beberapa lagi bank perdagangan yang berkelayakan di kedua-dua negara untuk menyertai dan terus menyokong pelaksanaan rangka kerja penyelesaian ringgit-baht yang diperluas tersebut.
Bank-bank lain yang baharu dilantik di Malaysia adalah HSBC Bank Malaysia Bhd dan Standard Chartered Bank Malaysia Bhd.
Di Thailand, bank-bank lain yang dilantik – Hong Kong and Shanghai Banking Corporation Ltd (Bangkok) dan Standard Chartered Bank (Thai) PCL.
— BERNAMA