
Laporan /foto : Nurul Wahida Mohamad Noor (Daerah Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 20 Okt(Malaysiaaktif) – Program Sepakat@Komuniti Parlimen Permatang Pauh membolehkan Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) membantu dua pusat golongan OKU dan warga emas di DUN Permatang Pasir yang terkesan akibat COVID-19, di sini baru-baru ini.
Pemangku Pegawai Penerangan Daerah SPT Mohd Zahari Zakaria, berkata dua pusat yang dibantu itu ialah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Intan, Permatang Rawa dan juga Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Parlimen Permatang Pauh.
“Dun Permatang Pasir menjadi lokasi pilihan Pejabat Penerangan Daerah SPT bagi melaksanakan Program melalui kerjasama PAWE Parlimen Permatang Pauh.
“Pasukan Pejabat Penerangan Daerah SPT turun ke PDK Permata Intan, Permatang Rawa dan juga PAWE Parlimen Permatang Pauh membuat penyerahan mesin sanitasi dan juga turut menyampaikan sumbangan kotak makanan,”katanya selepas Majlis Penyerahan Mesin Sanitasi kepada wakil PDK Permata Intan, Permatang Rawa, di sini.

Proses Sanitasi yang dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Parlimen Permatang Pauh.
Menurut Mohd Zahari Zakaria program yang dilaksanakan merupakan aktiviti tahunan yang perlu dilaksanakan namun, dalam peralihan fasa endemik konsep turun padang membantu proses sanitasi di dalam komuniti amat bersesuaian.
Ujarnya, kita perlu membantu masyarakat terutamanya golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas kerana mereka antara golongan yang terjejas berikutan penularan wabak Covid-19.
“Konsep yang diketengahkan ialah Pemerkasaan SOP berlandaskan kepada Konsep Keluarga Malaysia melalui kaedah menyumbang kepada pusat-pusat kegiatan kemasyarakatan dan pusat-pusat ini pula akan membantu masyarakat setempat sekiranya memerlukan,”katanya.
Terdahulu, satu taklimat khas ‘Persediaan Menghadapi Fasa Endemik’ telah disampaikan oleh Datin Dr. Hajah Hazariah Abu Hassan sebagai persiapan masyarakat dari segi kesihatan fizikal dan juga emosi.

Sesi taklimat khas ‘Persediaan Menghadapi Fasa Endemik’ telah disampaikan oleh Datin Dr. Hajah Hazariah Abu Hassan, Setiausaha dan Biro Keselamatan Persatuan Penduduk Taman Siakap, Seberang Jaya.
Selain itu, Pejabat Penerangan Daerah SPT Tengah tidak melepaskan peluang menyeru masyarakat setempat untuk mendapatkan vaksin agar pembentukan imuniti kelompok terus meningkat.
-ii-