Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMAPerak

KLINIK ASAS BMX RACING KEMBALI MENCARI BAKAT BAHARU

By 19 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Lizza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)/PADAT (Taiping)

KAMUNTING, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Setelah pengumuman aktiviti riadah dan penganjuran program dibenarkan oleh pihak kerajaan dengan kapasiti minimum, Klinik Asas BMX Racing kembali menganjurkan program bagi mencari bakat-bakat baharu dalam sukan ekstrem seperti BMX Racing di Daerah Larut Matang dan Selama.

Seramai 30 orang peserta telah mendaftarkan diri dalam Kursus Asas BMX Racing bertempat di Perak Extreme Park Kamunting dan penyertaan klinik ini terbuka kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.

Program anjuran Persatuan Aktiviti Dinamik Anak Taiping (PADAT) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping (MPT) ini bertujuan untuk mencungkil bakat baharu serta memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sukan basikal lasak BMX.

Program klinik ini dikendalikan oleh jurulatih PADAT, Mohd Rahmat Pakir Mohamad.

Menurut Mohd Rahmat, kebanyakan kanak-kanak yang menyertai program Klinik Asas BMX Racing telah mempunyai bakat bermain basikal BMX, cuma bakat mereka perlu diasah bagi mempelajari teknik-teknik perlumbaan yang betul dengan aksi-aksi yang menarik serta selamat.

Keselamatan para peserta program tetap menjadi keutamaan.

Keselamatan para peserta program tetap menjadi keutamaan.

“Mereka kelihatan seronok semasa latihan, mungkin sudah lama tidak beriadah dan menyertai program secara bersemuka seperti ini.

“Klinik ini juga dapat dijadikan satu platform untuk kanak-kanak ini berkenalan dan bertukar-tukar pandangan di antara satu sama lain di samping mempunyai minat yang sama,” jelasnya lagi sempena Perasmian Klinik Asas BMX Racing baru-baru ini.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Perbandaran Taiping, Clr Ibrahim bin Ismail yang hadir pada sebelah pagi, manakala, sijil penyertaan disampaikan oleh wakil MPT, Encik Rizal Ismara Ismail.

Demo oleh seorang peserta Klinik Asas BMX Racing.

Demo oleh salah seorang peserta Klinik Asas BMX Racing.

Selain klinik, turut diadakan pameran basikal ‘Old School BMX untuk tatapan peminat-peminat BMX.

Di penghujung program, peserta telah dihiburkan dengan pertunjukan ‘Flat Land Free Style’ daripada ‘UnderNorth BMX’ yang didatangkan khas daripada Sungai Petani, Kedah, menunjukkan aksi-aksi yang menakjubkan dengan iringan muzik rancak, bersesuaian dengan persembahan sukan extreme BMX.

~RJ~

Tinggalkan komen anda