
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Ibu bapa kepada remaja yang akan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka tidak lama lagi kini mampu menarik nafas lega selepas anak-anak mereka menerima vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.
Ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Klinik Kesihatan Chukai, baru-baru ini, rata-rata yakin dan sokong sehingga sanggup menunggu berjam-jam bagi membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksin secara jumpa terus.

Kelihatan ramai ibu bapa yang hadir menemani anak-anak di PPV Klinik Kesihatan Chukai untuk menerima suntikan vaksin.
Menurut Noriana Aziz, 47, yang membawa anaknya untuk menerima vaksin dos kedua menyambut baik inisiatif kerajaan ini kerana anak-anak akan berasa lebih selamat untuk bersekolah.
“Kita mengambil jalan ikhtiar untuk mencegah segala penyakit terutama wabak COVID-19 ini kerana kita semua berisiko untuk dijangkiti,” jelasnya.
Bagi seorang ibu, Ku Ai Chin, 50 pula, berkata dia membawa anaknya menerima suntikan vaksin kerana mahu anaknya kembali ke sekolah dalam keadaan selamat.
“Saya yakin vaksin ini berkesan untuk remaja dan saya akan pastikan semua ahli keluarga saya disuntik vaksin demi untuk melindungi diri dan keluarga daripada wabak berbahaya ini,” katanya.

Ku Ai Chin, 50, membawa anaknya menerima vaksin kerana mahu anaknya kembali ke sekolah dalam keadaan selamat.
Menurut Norabadiah Hashim, 40, pula, dia terkejut melihat begitu ramai remaja yang ditemani oleh ibu bapa untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Dari sini saya melihat kecaknaan dan keprihatinan ibu bapa terhadap keselamatan dan perlindungan anak-anak mereka daripada wabak yang telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia.

Norabadiah Hashim, 40, gembira dengan keprihatinan ibu bapa terhadap keselamatan dan perlindungan anak-anak daripada wabak COVID-19.
“Saya juga berharap semua ibu bapa dapat bercerita tentang kebaikan vaksin dan menggalakkan anak-anak mereka untuk menerima vaksin,” katanya.
-ii-