Laporan/foto : Judy Henry/Jaed Tepus (Sarawak)
KUCHING, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, yang dizahirkan untuk anak-anak yang terkesan pandemik.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melalui YKM, kerajaan akan memberikan perlindungan kepada anak-anak Keluarga Malaysia di Wilayah Sarawak, Wilayah Sabah dan negeri-negeri lain yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.
“Dengan adanya YKM, maka tiada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian, di mana idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi ia merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara.
“Sejajar dengan ini, pembangunan sosio ekonomi negara, di negeri-negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan.
“Sarawak merupakan antara enam negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching (BCCK), di sini baru-baru ini.
Ismail Sabri memaklumkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), akan diagihkan kepada enam negeri tersebut.
“Ini termasuk penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.
“Pendekatan yang sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada persidangan parlimen minggu hadapan,” katanya.
-ZS-