Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Jalinan Komunikasi Efektif Tangani Isu Pengurusan Bencana Banjir

By 28 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Judy Henry (Sarawak)

KUCHING, 28 Okt (Malaysiaatif) – Jalinan komunikasi yang efektif dalam tindakan penyelarasan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi anggota Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuching (JPBDK) amat penting dalam menangani isu pengurusan yang kurang cekap semasa bencana terutamanya ketika musim monsun yang sedang melanda Sarawak ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ahsmon Bajah, berkata sebagai agensi yang telah dilantik oleh kerajaan negeri untuk mengetuai JPBDK, PDRM Daerah Kuching komited untuk terus menjalinkan lebih banyak sesi keterlibatan dengan agensi-agensi di bawah kementerian persekutuan dan negeri yang telah dilantik untuk mengurus bencana dengan lebih cekap.

“Kita merupakan barisan hadapan dalam menangani isu yang melibatkan keselamatan masyarakat umum dan ahli-ahli daripada agensi yang terlibat harus tahu tentang peranan masing-masing.

“Keutamaan jawatankuasa ini adalah untuk menyelamatkan nyawa masyarakat dan komuniti yang terkesan akibat banjir di daerah ini,” ujarnya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini hari ini.

Ashmon menjelaskan bahawa PDRM di daerah Kuching juga mempunyai sembilan bilik gerakan bencana yang dibuka di setiap Pejabat Polis di sekitar daerah Kuching.

“Saya menyarankan supaya ahli agensi menyemak semula kedudukan semua Pusat Pemindahan Banjir (PPB) di setiap lokaliti di daerah Kuching.

“Pentingnya mengkaji semula kedudukan PPB bagi menggelakkan kejadian seperti tahun-tahun yang lepas, PPB dimasuki air disebabkan kawasan berkenaan telah berlaku pembangunan yang menyebabkan sistem perparitan gagal berfungsi dan menyebab air tersekat lalu membanjiri tempat PPB.

“JPBDK juga harus dalam keadaan sedia daripada segi penyediaan asset berupa logistik seperti lori, kenderaan berat, bot-bot laju yang penting untuk pemindahan komuniti yang terkesan semasa banjir,” katanya.

Ahsmon turut mengingatkan Jabatan Kesihatan Daerah Kuching (KKM) tentang persiapan menangani kawalan penyakit berjangkit di setiap lokasi PPB, tambahan pula dengan keadaan pandemik COVID-19 untuk menggelakkan jangkitan berlaku di lokasi PPB.

-ZS-

Tinggalkan komen anda