
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)
IJOK, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Sambutan Maulidur Rasul 1443H disambut dengan penuh kesederhanaan pada tahun ini berikutan negara masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19.
Sambutan Maulidur diserikan lagi dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul bagi peringkat Daerah Larut Matang dan Selama dimana pemenang bagi kategori lelaki adalah Haji Yusof Shafie dan kategori wanita adalah Hajjah Satariah Omar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahaya, berkata sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1443H disambut dengan penuh kesyukuran dalam norma baharu di seluruh negara bagi mengingati hari kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW.
“Sambutan Maulidur Rasul disambut di seluruh negara dengan pematuhan SOP yang ketat kerana negara masih lagi berhadapan dengan situasi COVID-19 walaupun kes harian semakin berkurangan,” ujar beliau.
Tambah beliau, umat Islam di negara ini diajar supaya melakukan kebaikan sesama sendiri dan mengikut teladan baik yang pernah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan kedatangan Nabi Muhammad SAW merupakan satu rahmat yang besar kepada alam semesta.
“Umat Islam seharusnya mengangkat Nabi Muhammad sebagai idola sepanjang masa dan wajar ikut segala sifat-sifat beliau seperti bersifat benar dalam semua perkataan dan perbuatan,” jelas beliau ketika memberi ucapan pada program Sepakat@Komuniti di Arena Masjid Kampung Ijok, di sini semalam.
Bertemakan “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” pada tahun ini, bermaksud supaya ia dapat dijadikan satu motivasi kepada ummah dalam mendepani apa juga situasi yang getir ataupun sukar.
Turut berlangsung acara penyampaian bakul makanan kepada 10 buah keluarga asnaf yang tinggal dikawasan berkenaan setelah diselidiki latar belakang mereka serta melayakkan mereka untuk menerima bantuan tersebut daripada Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama.
~RJ~