Laporan/foto : Nurul Jannah Shamsol Anuar (Melaka Tengah)
MELAKA, 20 Okt (Malaysiaaktif) -Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka telah diadakan di Auditorium Al Azim dengan tema “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti”.
Majlis ini meraikan penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul di atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan kepada negeri Melaka.
Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md. Rawi Mahmud berkata , sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Melaka diadakan bagi menyemarakkan lagi syiar islam khususnya di negeri ini dengan meraikan dan memperingati ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Pelbagai program dan aktiviti telah dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2021 dalam pelbagai bentuk yang bersesuaian dengan norma baharu bagi memastikan perkongsian ilmu yang berguna dan bermanfaat kepada semua umat Islam khususnya di Melaka dapat disebarkan secara dalam talian.
“Antara program yang akan diteruskan adalah Forum Perdana,Slot Tausiyah dan Bicara Syariah yang mana akan menampilkan penceramah hebat dan berkarisma yang akan menarik minat ribuan penonton”, ujarnya ketika ditemui di Auditorium Al Azim, semalam.
Md. Rawi menyeru kepada seluruh masyarakat agar mengambil kesempatan untuk memeriahkan dan menyertai program-program yang telah disusun dan bersama-sama menimba ilmu di sepanjang minggu Semarak Mahabbah Rasulillah yang berlangsung selama enam hari.
Turut hadir sama Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam , Yang Di-Pertua Negeri Melaka dan Sulaiman Md Ali Ketua Menteri Melaka.
-FF