Laporan/foto : Rusmiza Anuar/ Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU- 20 Okt (Malaysiaaktif)– Kerajaan komited untuk melaksanakan beberapa projek infrastruktur dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi mencepatkan pembangunan sosial ekonomi di Negeri Terengganu.
Kenyataan tersebut dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika hadir pada sesi Road Show Pasca RMK Ke-12, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
“Antara projek ialah Projek Pembangunan Taman Industri Polimer di Kertih, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu di Kemaman, Pemuliharaan Muara Sungai di Besut, Dungun dan Setiu serta tambatan banjir Kuala Terengganu Utara.
“Selain itu, kerajaan juga akan menaiktaraf jalan persekutuan, Cukai-Kemaman, Projek Jalan Raya Simpang Pulai-Gua Musang- Kuala Berang dan pembangunan kawasan bertanam getah pekebun kecil,” katanya.
Menurut Mustapa, pelbagai usaha dirancang untuk merancakkan ekonomi Terengganu dengan memanfaatkan kelebihan dan peluang sedia ada.
Katanya, RMK-12 dijajarkan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030 bagi pembangunan mampan serta mengambil kira semangat Keluarga Malaysia.
“Kerajaan juga mengambil pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri dan masyarakat dalam melaksanakan pembaharuan,” katanya.
Sesi ini diadakan secara bersemuka dalam talian bertujuan untuk membuat hebahan mengenai dasar, strategi dan inisiatif RMK-12 kepada semua pihak berkepentingan di peringkat negeri.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar , Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
-II-