Laporan/foto: Rose Rasidi/Muhammad Hariz (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri mengumumkan kejayaan kutipan hasil pada tahun ini mencecah lebih RM800 juta.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, antara penyumbang kutipan hasil ini ialah daripada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan negeri (GLC) yang menyumbang kira-kira RM52.5 juta.
“Apa yang kerajaan negeri dapat akan kita kembalikan kepada 1.7 juta rakyat di negeri ini dalam bentuk pembangunan, bantuan dan sebagainya.
“Antaranya pembangunan sosial yang diperuntukkan berjumlah RM700,000 dikhususkan dalam Transformasi Pendidikan Negeri Pahang,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian Bantuan Prihatin Pahang kepada para penduduk Cameron Highlands di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga amat menitikberatkan kebajikan rakyat dalam aspek pemilikan rumah dan tanah.
“Skim Tanah Warisan yang bermula di Kuala Medang, Lipis dan Skim Tanah Rakyat bertujuan membantu rakyat yang tiada rumah dan tanah.
“Kerajaan negeri juga akan menyediakan infrastruktur selengkapnya,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, negeri ini merupakan negeri yang paling tinggi pelaksanaan PKPD dan juga paling banyak memberi bantuan kepada rakyat.
“Setakat ini kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM51,610 kepada rakyat seperti Bantuan Prihatin Pahang kepada pengusaha, pekerja kantin dan dewan asrama, bantuan program kembali ke sekolah serta sumbangan jubah kepada pegawai masjid dan surau.
“Selain itu turut disalurkan bantuan khas kewangan kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA),” tambahnya.
-AH-