
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/INTAN
PUTRAJAYA, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Konvensyen Munsyi Muda Bahasa (MMB) Perkhidmatan Awam yang julung kalinya diadakan bersepakat dengan tujuh resolusi bagi memperkasakan bahasa kebangsaan dalam ruang lingkup perkhidmatan awam.
Timbalan Pengarah Kanan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Salinah Ismail, berkata konvensyen yang dianjurkan bersama dengan Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini berlangsung seharian dengan objektif utama iaitu menubuhkan Sektretariat Munsyi Muda Bahasa Sektor Awam (SEMUA) Kebangsaan sebagai wadah penyelarasan kegiatan Munsyi Muda Bahasa merentas kementerian, jabatan dan agensi.
“Tujuh resolusi disepakati dalam konvensyen kali ini dengan objektif utama adalah dengan menubuhkan SEMUA sebagai wadah strategi kolaboratif Munsyi Muda Bahasa di peringkat kebangsaan dan kementerian, agensi mahupun jabatan.
“MMB perlu kreatif, inovatif dan proaktif dalam menjadi penggerak utama aktiviti kebahasaan di peringkat kementerian bagi memangkin penggunaan bahasa kebangsaan yang bermutu di organisasi selain menjadikan mereka ini berdaya tahan dalam menghadapi cabaran-cabaran usaha memperkasakan bahasa kebangsaan di organisasi,” katanya ketika merasmikan konvensyen berkenaan yang diadakan secara dalam talian, semalam.
Menurut Salinah, peningkatan kompetensi kendiri MMB perlu dilaksanakan secara berterusan melalui penglibatan dalam kursus-kursus dan bengkel penataran anjuran DBP, INTAN serta pihak lain yang berkaitan.
“Kami memperjuangkan agar pengiktirafan sewajarnya dapat diberikan kepada MMB yang menjalankan fungsi-fungsi perujuk bahasa dalam bentuk ganjaran, imbuhan, kelebihan dan peruntukan tertentu selari dengan Perkara 12 (C) Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020.
“Dalam resolusi keenam dan terakhir, MMB bersedia untuk bekerjasama erat dengan pihak DBP dalam menjayakan kegiatan-kegiatan kebahasaan di organisasi sama ada dalam skala kecil atau besar serta berharap agar pihak kementerian dapat mempertimbangkan ujian kenaikan pangkat atau ujian-ujian lain dalam perkhidmatan awam dengan memasukkan elemen pengetahuan bahasa Melayu yang betul bagi memastikan pegawai awam mempunyai penguasaan bahasa kebangsaan yang baik,” katanya.
Salinah menjelaskan Program Munsyi Muda Bahasa merupakan produk kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan DBP dalam memberikan latihan kebahasaan formal dan berperingkat kepada pegawai kementerian setiap sektor yang dilantik khas untuk menjadi perujuk bahasa kepada kementerian masing-masing.
“Antara bidang tugas MMB adalah membantu agensi kerajaan dalam penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam penyediaan surat, dokumen, laporan rasmi, paparan dan teks ucapan di agensi kerajaan sama ada dalam bentuk bercetak atau elektronik.
“Pegawai yang ditauliahkan sebagai MMB mempunyai tanggungjawab yang besar untuk digalas sebagai perujuk bahasa bagi membantu usaha dalam memperkembangkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul,” katanya.
-RI