Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Bakal Jadi Hab e-Sukan Asia Tenggara

By 22 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Zaidy (Putrajaya)/JaPen

PUTRAJAYA, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Pertandingan e-Sports Keluarga Malaysia International Challenge 2021 akan diadakan bagi mencungkil bakat-bakat baharu tempatan selain membuka ruang mempromosikan negara sebagai hab e-sukan di peringkat antarabangsa serta dapat menjana pendapatan negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata program tersebut akan dilaksanakan khas dengan Kerjasama KKMM, Persatuan e-Sports Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan syarikat-syarikat yang terlibat secara aktif dalam industri e-sukan di Malaysia.

“Sudah tiba masa kita beri peluang kepada anak-anak muda untuk memeriahkan industri digital dan kreatif negara menerusi e-sukan.

“Uniknya program kali ini adalah kerana nilai-nilai Keluarga Malaysia yang meraikan keterangkuman dalam perbezaan serta menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa akan diselitkan menerusi setiap selingan ketika pertandingan berlangsung,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai penganjuran e-Sports Keluarga Malaysia International Challenge 2021 di Wisma TV Angkasapuri, semalam.

Menurut Zahidi, kerajaan sedang meneliti mekanisme untuk melaksanakan cukai terhadap perniagaan ekonomi digital yang mencatatkan keuntungan sehingga berbilion ringgit di negara ini.

“Mekanisme itu harus dipertimbangkan kerana terdapat banyak perniagaan dalam ekonomi digital didapati tidak membayar cukai meskipun mencatat keuntungan berbilion ringgit.

“Pihak kementerian (KKMM) akan berbincang dengan Kementerian Kewangan akan perkara ini, kalau cukai itu dikutip bagaimana cara supaya ia tidak membebankan dan ini satu tanggungjawab yang kita kena fikir dan usahakan,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan kejohanan, Zahidi berkata kejohanan terbahagi kepada dua kategori iaitu 18 tahun ke atas dan 18 tahun ke bawah dengan memberi penekanan terhadap dua jenis permainan iaitu Mobile Legends dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG).

“Kita menyediakan 128 slot pasukan untuk 15 persatuan esports setiap negeri ambil peluang dan akan menjemput pasukan dari Asia Tenggara (Singapura, Thailand dan Indonesia) untuk turut terlibat sama.

“Hadiah yang ditawarkan pula adalah sebanyak RM30, 000 di tempat pertama, RM20,000 (kedua), RM10,000 (ketiga) dan RM5,000 untuk saguhati.

“Harapan saya agar lebih ramai anak muda akan menyertai program yang menawarkan hadiah lebih daripada RM100, 000 ini,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda