
Foto: Wah Nam Hong
PUTRAJAYA, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kedutaan Malaysia di Belanda telah bekerjasama dengan Wah Nam Hong, antara pasar raya terkemuka Asia di Belanda untuk menjalankan program promosi dalam talian “Flavours of Malaysia.”
Program selama sebulan yang bermula 16 September 2021 bersempena Hari Malaysia itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pasaran makanan dan minuman Malaysia di samping memperkukuh kehadiran jenama Malaysia dalam segmen makanan dan minuman di negara itu.
Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Rotterdam Emeliana Zainol berkata, jualan melalui platform dalam talian telah meningkat pada kadar dua angka berikutan situasi pandemik pada masa ini.
“Menjangkau pengguna di Belanda melalui platform dalam talian adalah penting memandangkan lebih 80 peratus daripadanya menggunakan e-dagang untuk membeli barang pada tahun lepas, terutamanya semasa pandemik.
“Situasi itu turut mencetuskan budaya memasak di rumah memandangkan amalan makan di rumah telah menjadi norma dan disifatkan sebagai pilihan yang lebih sihat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MATRADE hari ini.
Katanya kesedaran pengguna yang meningkat terhadap pemakanan telah menyebabkan permintaan kepada makanan fungsian dan makanan organik, bukan sahaja di Belanda, malah di Eropah secara keseluruhannya.
“Sehubungan itu, pengeksport makanan dan minuman Malaysia turut digalakkan memberi tumpuan terhadap budaya baharu terhadap makanan seumpama itu,” katanya.
Belanda kekal sebagai rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di Eropah pada 2020 dengan jumlah perdagangan sehingga RM27.85 bilion. Eksport Malaysia ke Belanda berkembang 28.4 peratus pada sembilan bulan pertama tahun ini meskipun dilanda pandemik yang menjejaskan perdagangan dunia.
— BERNAMA