Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)/Pejabat Daerah Johor Bahru
JOHOR BAHRU, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM3 juta diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru.
Menurut Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Abdul Rahman Salleh, peruntukan yang diberikan itu adalah bertujuan untuk membina rumah pam ketiga di Kampung Pasir.
“Kolaborasi dan peruntukan yang disalurkan daripada agensi lain seperti Pejabat Daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Johor Bahru juga diharapkan dapat mengurangkan risiko kejadian banjir kilat dari menjadi lebih teruk,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Gerak Tumpu Pasca Banjir, di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, rentetan kejadian banjir yang sering melanda di kawasan ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif menggabungkan agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat dalam program kesedaran menjaga kebersihan dan kempen mencintai sungai.
“Kita berjaya menjalankan program gotong-royong dan pembersihan sungai di enam buah lokasi tumpuan dalam Kampung Pasir dan kawasan rangkaiannya.
“Aktiviti seperti ini juga sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh dan mengelakkan kenaikan paras air yang mendadak semasa hujan lebat atau air pasang,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus memberi sokongan terhadap kempen ‘Cintai Sungai Kita’ yang dilaksanakan oleh pihak JPS agar memberi impak yang lebih baik.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN Perling Datuk Nur Jazlan Mohamed, Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru Amirul Haffiz Ariff, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abdul Wahid dan Jurutera Daerah Pengairan dan Saliran Daerah Johor Bahru Naz Zilla Abdul Najir.
-NI-