
Laporan/foto: Nor Emylia Lot / Wan Rosli Wan Shafie (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Hampir 2,000 orang masyarakat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), Buluh Gading menyertai pertandingan Ngail Udang Galah anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, berkata penganjuran pertandingan berkenaan di peringkat komuniti bagi meningkatkan hubungan sesama masyarakat sekitar tanpa mengira fahaman politik.
“JPKK memainkan peranan yang besar dalam memastikan masyarakat akar umbi sentiasa bersatu padu.
“Ini membolehkan semua rakyat di negeri ini bersederhana dari segi politik tetapi dalam masa yang sama nilai-nilai patriotik terus diperjuangkan dalam usaha membentuk bangsa Malaysia yang kukuh,” katanya semasa ditemuramah ketika pertandingan berlangsung.
Tambah beliau,program-program rakyat seperti ini dianjurkan bagi memberikan peluang kepada masyarakat agar dapat bertemu dengan pemimpin setempat dilapangan, sekaligus dapat mendengar segala permasalahan mereka secara terus.
Sementara itu, bagi peserta pertandingan, Ariffin Said, 30, berkata beliau teruja dan gembira apabila dapat menyertai pertandingan berkenaan.
“Aktiviti sebegini bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan sesuatu yang bermanfaat tetapi dapat berjumpa kembali dengan kawan-kawan yang lain,” katanya.
Katanya, sepanjang penguatkuasaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan, hampir satu tahun dia tidak dapat menyertai pertandingan komuniti seperti ini malah, sebaik sahaja tahu penganjuran pertandingan ini diadakan dia segera mendaftar.
Dalam pada itu, Ariffin turut bersyukur setelah dinobatkan sebagai juara pertandingan bagi kategori Individu.
“Kewujudan program ini juga memberikan saya peluang untuk beramah mesra dengan komuniti setempat. Ia seperti ‘hari raya’ bagi kami yang telah lama tidak berjumpa dengan yang lain kerana penguatkuasaan PPN sebelum ini,” tambah Ariffin.
Program anjuran Biro Sukan dan Rekreasi JPKK Tanjung Sabtu tersebut diadakan di Sungai Lubuk Aji, Kuala Nerus.
Pertandingan tersebut menawarkan hadiah pertama berkumpulan sebanyak RM400 berserta hamper, Kedua, RM300 beserta hamper dan tempat ketiga, RM200.
Sementara itu, Juara Raja Udang bagi kategori individu ditawarkan sebanyak RM300.
Pertandingan berkenaan bertambah menarik apabila diserikan dengan pameran wau tradisional untuk tatapan pengunjung pada hari berkenaan.
-ii-