PUTRAJAYA, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Syarikat pemula niaga Malaysia mempunyai peluang lebih baik untuk mencapai kejayaan dalam pasaran ekonomi Indonesia yang bernilai AS$1.0 trilion (AS$1=RM4.15) berikutan pemeteraian perjanjian antara Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) dan AC Ventures, firma pelaburan modal teroka terkemuka di Indonesia.
“Kita mengalu-alukan keputusan AC Ventures untuk menjalinkan kerjasama dengan Penjana Kapital dan melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia.
“Pelaburan ini amat penting untuk merangsang ekosistem industri di negara kita, dengan menggalakkan inovasi dan melengkapkan usahawan tempatan dengan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dan mencapai kejayaan terutamanya di Indonesia, pasaran pengguna terbesar di rantau Asia Tenggara,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.
Penjana Kapital ditubuhkan pada tahun 2020 sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan Malaysia untuk memangkin pertumbuhan syarikat pemula niaga inovatif sementara AC Ventures adalah sebuah firma pelaburan modal teroka yang memberi fokus kepada rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tengku Zafrul menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama itu semasa lawatan rasmi Perdana Menteri selama empat hari ke Jakarta.
AC Ventures merupakan satu daripada lapan pengurus dana modal teroka yang terpilih di bawah Program Dana Penjana Nasional, program yang dikendalikan oleh Penjana Kapital.
AC Ventures telah bekerjasama dengan Translink Capital dan Vertex Force untuk melabur dalam salah satu dana Dana Penjana Nasional iaitu SEA Frontier Fund yang memberi fokus kepada syarikat pemula niaga Malaysia untuk antara lainnya, menembusi pasaran Indonesia serta menjalinkan kerjasama di dalam ekosistem teknologi serantau.
Dengan hampir 100 syarikat dalam portfolionya, AC Ventures telah melabur ke dalam syarikat pemula niaga terkenal seperti Carsome, Xendit, Stockbit, Eden Farm dan Ula.
Melalui pelaburan AC Ventures, dana SEA Frontier Fund akan menggandakan usaha dalam strategi pelaburan yang tertumpu kepada syarikat pemula niaga yang ingin menjalankan perniagaan merentas sempadan serantau.
Dana SEA Frontier Fund juga telah meraih komitmen daripada pelabur strategik asing termasuk sebuah syarikat konglomerat antarabangsa yang terkenal dari Korea Selatan.
Ia kini mempunyai dana sebanyak RM200 juta dan menyasarkan untuk meraih pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta dalam masa tiga bulan akan datang
Penjana Kapital melihat peluang bagi syarikat pemula niaga Malaysia dalam beberapa sektor yang telah dikenal pasti di bawah kerangka “Making Indonesia 4.0” seperti sektor automotif, pertanian dan makanan serta kesihatan.
Dana Penjana Nasional ini telah mengumpul RM995.4 juta untuk lapan dana modal teroka setakat Oktober 2021, berdasarkan padanan 1:1 dana oleh Kementerian Kewangan.
Daripada jumlah itu, RM562.7 juta merupakan modal pelabur asing dan swasta tempatan.
Penjana Kapital turut mengumumkan bahawa 30 pelaburan bernilai RM267.2 juta telah diluluskan di bawah program Dana Penjana Nasional, dengan dua daripadanya telah berjaya mencapai status “unicorn” (perusahaan syarikat pemula niaga bernilai lebih US$1 bilion).
— BERNAMA