Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, menyeru orang awam agar terus bekerjasama dengan pasukan polis dalam usaha membanteras jenayah di negara ini.
Menurutnya, seruan tersebut bertepatan dengan motto Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
“Dalam hal ini, situasi menang-menang antara polis dan masyarakat yang perlu berfikiran positif antara dua pihak.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dijaga.
“Sekiranya rakyat berpisah dengan pihak polis akan menyukarkan tindakan mencegah jenayah,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed.
Terdahulu, Mazlan merasmikan IPD Gombak yang beroperasi di Jalan Bukit Idaman sejak tahun 2002.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan indek jenayah di kawasan pentadbiran IPD Gombak telah menurun hasil pelbagai aktiviti pencegahan jenayah yang dilaksanakan.
“Antaranya rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang kerap disamping melaksanakan rondaan cegah jenayah,” katanya.
-RI