Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Strategi Pemodenan, Pertanian Pintar Jayakan Transformasi Sektor Agromakanan

By 10 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlydiana Ishak (Putrajaya)/Jabatan Pertanian Malaysia

PUTRAJAYA, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah meletakkan lima strategi pemodenan dan pertanian pintar di bawah sub industri padi dan beras sebagai key game changer bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata antara strategi yang digariskan di bawahnya ialah dengan meningkatkan produktiviti melalui pengurusan penggunaan tanah dan air yang lebih baik dengan memberi penekanan kepada peningkatan kecekapan penggunaan tanah dan air untuk produktiviti yang lebih tinggi.

“Selain itu, ia juga untuk memanfaatkan potensi varieti istimewa padi tempatan dengan membangunkan segmen beras istimewa tempatan bagi mengukuhkan pilihan varieti oleh pengeluar beras dalam negara.

“DNA 2.0 juga dapat menggalakkan penglibatan sektor swasta di sepanjang rantaian nilai sub industri padi dan beras seiring dengan arus peredaran masa,” menurut kenyataan tersebut bersempena program Webinar on Leaf Colour Chart (LCC) Application yang diadakan secara maya, di sini, semalam.

MAFI turut mempromosi, menggalakkan, mengajar dan memupuk generasi belia untuk terlibat dalam sub industri padi dan beras dengan memperkasakan peluang sedia ada melalui pendedahan kepada generasi muda - Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

MAFI turut mempromosi, menggalakkan, mengajar dan memupuk generasi belia untuk terlibat dalam sub industri padi dan beras dengan memperkasakan peluang sedia ada melalui pendedahan kepada generasi muda – Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

Penstrukturan semula sokongan kewangan sedia ada juga dapat menyumbang ke arah memperkasa petani dalam membuat keputusan dengan memperhalusi sokongan input dan output semasa bagi mengoptimumkan operasi pertanian.

“MAFI turut mempromosi, menggalakkan, mengajar dan memupuk generasi belia untuk terlibat dalam sub industri padi dan beras dengan memperkasakan peluang sedia ada melalui pendedahan kepada generasi muda.

“Di samping itu, MAFI turut memperkenalkan pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar atau dikenali sebagai SMART SBB,” kata kenyataan itu.

SMART SBB berperanan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara serta meningkatkan pendapatan pesawah padi melalui penglibatan pemain industri secara langsung dalam rantaian penanaman padi dan pengeluaran beras.

LCC juga membolehkan petani mengambil gambar pokok padi menggunakan telefon pintar yang mana keputusan analisis dapat diperoleh dengan kadar segera - Datuk Zahimi Hassan

LCC membolehkan petani mengambil gambar pokok padi menggunakan telefon pintar yang mana keputusan analisis dapat diperoleh dengan kadar segera – Datuk Zahimi Hassan

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Zahimi Hassan berkata Jabatan Pertanian Malaysia telah membangunkan aplikasi Leaf Colour Chart (LCC) yang merupakan inovasi pertanian pintar oleh pegawai Jabatan Pertanian sendiri.

“Aplikasi ini mampu membantu para petani membuat keputusan secara tepat dalam penggunaan baja nitrogen.

“LCC juga membolehkan petani mengambil gambar pokok padi menggunakan telefon pintar yang mana keputusan analisis dapat diperoleh dengan kadar segera,” tambah kenyataan tersebut.

Webinar on Leaf Colour Chart (LCC) Application anjuran Jabatan Pertanian Malaysia ini telah disertai oleh para peserta dari 10 buah negara ASEAN dan 250 orang pegawai pengembangan yang mana ia memberi penekanan kepada pengurusan pintar nutrien dalam pengurusan padi dan beras ke arah penggunaan baja secara tepat yang dapat membantu mengurangkan kos input dan penjagaan alam sekitar yang lestari.

Ia juga merupakan platform untuk berkongsi pengalaman dan pandangan negara-negara ASEAN dalam membantu petani meningkatkan kecekapan dalam proses pengurusan nutrien tanaman padi.

-NI-

Tinggalkan komen anda