Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kampung Sungai Pinang Bandar Johan Anugerah Kejiranan Hijau 2021

By 10 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marina Hila Idris (Klang)/Facebook Kebun Komuniti Sungai Pinang

KLANG, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Kampung Sungai Pinang Bandar diumumkan sebagai johan kategori Komuniti Perumahan Kampung, Anugerah Kejiranan Hijau (AKH) 2021 anjuran Jabatan Perancang Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia).

Kejayaan terbesar kampung tersebut di peringkat kebangsaan setelah mengetepikan saingan 30 peserta lain dari seluruh negara.

Ketua Projek, Hamdan Yusof, 65, berkata idea mewujudkan kebun komuniti tercetus semasa Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu.

Antara tanaman yang terdapat di Kebun Komuniti

Antara tanaman yang terdapat di Kebun Komuniti.

“Mulanya kami ingin memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti sihat dengan mengusahakan tanah kosong di kawasan ini bagi menghilangkan tekanan berkurung di rumah.

“Bantuan serta nasihat daripada PLANMalaysia dan Jabatan Pertanian Klang, kami berjaya menanam pelbagai jenis sayuran, ternakan, mewujudkan pusat kitar semula komuniti dan memperkenalkan amalan upcycling kepada komuniti,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, komitmen dan kerjasama utuh antara ahli komuniti seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Nazir Masjid Raudhatul Mukminin Sungai Pinang menjadi resepi kejayaan.

Pusat Kitar Semula yang diwujudkan di Kebun Komuniti.

Pusat Kitar Semula yang diwujudkan di Kebun Komuniti.

“Penghargaan terima kasih diucapkan kepada PLANMalaysia dan Majlis Perbandaran Klang kerana mengiktiraf usaha kami dalam menghijaukan komuniti kampung.

“Kami akan menggandakan usaha menghijaukan komuniti selepas ini melalui pendidikan alam sekitar pula kepada komuniti khususnya belia dan kanak-kanak.

“Bukan sahaja secara bersemuka, kami juga gunakan pelantar media sosial untuk mendidik masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar,” katanya yang merupakan Ketua Kampung Sungai Pinang Bandar.

Keputusan pertandingan disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican secara langsung melalui pelantar Facebook, semalam.

-RI

Tinggalkan komen anda