Laporan/foto: Mohamad Zaidy/KKMM
PUTRAJAYA, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Komitmen dan kesungguhan tinggi ditunjukkan semua anggota Jemaah Menteri dalam menjayakan acara 100 Hari Keluarga Malaysia mencatat sejarah baharu negara kerana buat julung kalinya membabitkan penglibatan kesemua kementerian dan jabatan kerajaan dalam satu masa.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata berbeza dengan penganjuran acara mega kerajaan sebelum ini yang berfokuskan kepada segmen tertentu, namun acara 100 Hari Keluarga Malaysia kali ini telah mengukir rekod baharu yang begitu unik dan istimewa.
“Ini kerana buat pertama kalinya, semua kementerian dan jabatan di bawah kepimpinan 31 anggota Jemaah Menteri berkerjasama dalam satu sinergi yang cukup mantap di bawah semangat Keluarga Malaysia untuk sama-sama menjayakannya,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di sini.
Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari mulai hari ini, dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.
Mohd Zuki berkata istilah ‘keluarga’ yang membawa takrifan sekumpulan individu yang mempunyai talian persaudaraan dan tinggal di bawah satu bumbung serta saling sayang-menyayangi, bertepatan dengan aspirasi yang diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Konsep Keluarga Malaysia juga dizahirkan tepat pada masanya iaitu ketika negara sedang diuji dengan pandemik COVID-19 yang mencetuskan krisis kesihatan dan memberi impak kepada tahap ekonomi negara.
Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri itu menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan.
Konsep Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diperkenalkan Ismail Sabri menerusi ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos lepas.
-ZS-