Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

IHPR Tempatan Naik 12.6 Peratus pada November 2021

By 30 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada November 2021 meningkat 12.6 peratus berbanding penurunan 3.0 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama 2020, terutama didorong oleh lonjakan kos bahan mentah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ini menandakan lapan bulan berturut-turut inflasi dari perspektif pengeluar mencatatkan peningkatan dua angka pada tahun ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan IHPR pengeluaran tempatan pada November 2021 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang melonjak 71.2 peratus berbanding kejatuhan 45.8 peratus yang dicatatkan pada November 2020.

“Peningkatan harga minyak mentah (79.8 peratus) dan gas asli (38.2 peratus) telah menyumbang kepada kenaikan ini,” katanya dalam kenyataan mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan, Malaysia November 2021 pada Khamis.

Beliau berkata indeks pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat namun pada kadar yang perlahan iaitu 19.1 peratus (November 2020: 21.5 peratus), sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam indeks buah tandan segar kelapa sawit (25.2 peratus), ayam (18.1 peratus) dan telur ayam (8.3 peratus).

Tambahan pula, indeks pembuatan meningkat 8.4 peratus pada November 2021 disumbangkan oleh indeks bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (26.2 peratus) dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (21.9 peratus, katanya.

Beliau berkata indeks bekalan air meningkat secara marginal 0.2 peratus bagaimanapun bagaimanapun, indeks bekalan elektrik dan ga susut 0.3 peratus.

Mohd Uzir berkata melihat kepada perbandingan bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.4 peratus pada November 2021.

Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan 5.9 peratus dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan, terutamanya disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (8.3 peratus), penanaman tanaman tidak kekal (3.0 peratus) dan pengeluaran ternakan (1.2 peratus), katanya.

Beliau berkata indeks buah tandan segar kelapa sawit kekal meningkat berikutan kebimbangan buruh migran yang tidak mencukupi di ladang-ladang di Malaysia.

“Sebaliknya, harga minyak mentah merosot berikutan penemuan varian COVID-19 baharu iaitu Omicron di mana buat pertama kalinya dikesan di Afrika Selatan yang menyebabkan kebimbangan penyebarannya sekali gus memperlahankan permintaan terhadap komoditi tersebut.

“Ini menyumbang kepada penurunan 2.3 peratus dalam indeks perlombongan berbanding peningkatan 5.5 peratus yang dicatatkan pada bulan lepas,” katanya.

Ketua Perangkawan berkata selain itu, indeks pembuatan meningkat 1.3 peratus, antaranya disebabkan oleh peningkatan indeks bagi subsektor pembuatan minyak dan lemak sayuran dan haiwan (2.9 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (2.4 peratus), pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (1.2 peratus) serta pembuatan besi dan keluli asas (1.1 peratus).

Indeks utiliti menunjukkan indeks bekalan elektrik dan gas merosot 0.3 peratus, manakala, indeks bekalan air meningkat 0.9 peratus, katanya.

Mengulas mengenai harga komoditi yang melambung tinggi baru-baru ini, Mohd Uzir berkata memandangkan cuaca sejuk, angin kencang ditambah dengan hujan lebat di kebanyakan tempat di Malaysia menjadi antara faktor kenaikan kos komoditi terutama sayur-sayuran.

Beliau berkata bilangan pekerja yang tidak mencukupi di kawasan ladang juga mengurangkan bilangan keluaran, seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan dan kenaikan harga.

“Baru-baru ini, hujan lebat menyebabkan banjir besar di beberapa negeri. Banjir ini memusnahkan kebanyakan tanaman dan kemudiannya boleh mengakibatkan gangguan dalam rantaian bekalan di mana ia mendorong kepada kecenderungan tekanan ke atas harga,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda