
Laporan/foto: Marina Hila Idris/Muhd Hafiz Muhamad (Klang)
KLANG, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Daerah Klang mengunjungi serta menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada tiga kakitangan jabatan yang terjejas akibat banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25.
Pegawai Penerangan Daerah Klang, Siti Rosliza Ibrahim, berkata program berkenaan begitu istimewa kerana keberadaan JaPen Klang bukan sahaja untuk membuat hebahan malah sebagai sokongan moral kepada kakitangan JaPen Selangor yang terjejas akibat banjir.
“Aktiviti ziarah kasih ini dilaksanakan serentak dengan aktiviti hebahan mesej-mesej pasca banjir melalui unit bergerak di kawasan berkenaan.
“Selain daripada bantuan berupa makanan, mereka juga memerlukan sokongan sosial daripada individu terhampir termasuk rakan sekerja supaya mereka tidak tewas dengan musibah yang menimpa.
“Ziarah kasih JaPen Klang diharap membantu meringankan beban ketiga-tiga kakitangan JaPen Selangor ini agar mereka terus bersemangat dan kekal bermotivasi,” katanya yang ditemui sempena ziarah tersebut di Taman Sri Muda, semalam.
Banjir yang melanda kawasan Taman Sri Muda sejak 18 Disember lalu telah surut sepenuhnya semalam dan kini penduduk sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan rumah kediaman mereka.
-RI