Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lokasi Terjejas di Enam Negeri Akibat Banjir Menurun

By 26 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Situasi banjir setakat petang semalam menunjukkan sedikit ‘sinar’ apabila jumlah lokasi yang terjejas di enam negeri Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah, semakin menurun kepada 126 lokasi berbanding Rabu lepas iaitu 210 lokasi.

Pusat Kawalan Operasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan semalam memaklumkan, lokasi itu membabitkan lapan daerah di Pahang, Selangor (lima), masing-masing dua di Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan serta satu daerah di Terengganu, yang masih terjejas akibat banjir setakat 6 petang semalam.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 40 jalan persekutuan dan 83 jalan negeri terjejas akibat kejadian banjir kilat, banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak.

Rentetan itu, beberapa laluan masih ditutup untuk semua jenis kenderaan dan 15 laluan dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Kenyataan NADMA itu menyatakan enam laluan sudah mula dibuka kepada semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Pekan-Batu Balik dan FT 082 Pekan Batu Balik, Pekan, Pahang.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 6 petang semalam sebanyak 40,738 mangsa banjir dari 11,882 keluarga yang masih berlindung di 257 PPS di lima negeri, berbanding 43,289 orang mangsa banjir tengah hari semalam.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda