Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Keputusan SWN Pelaksanaan 5G Diketahui Masa Terdekat

By 18 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kewangan akan membentangkan kertas kerja Jemaah Menteri berhubung keputusan menggunakan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata pihaknya sedang menunggu laporan terakhir hasil pertemuan dengan pembangkang di Dewan Rakyat pada Khamis.

“Minggu ini kita akan edarkan kertas Jemaah Menteri kepada semua kementerian supaya dapat memberi respons dan pandangan sebelum dibawa kepada sidang Jemaah Menteri nanti.

“Ini jelas membuktikan kerajaan begitu telus dan terbuka dengan menjalankan sesi libat urus dengan semua pihak agar tidak timbul sebarang pertikaian atau kekeliruan,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan semalam.

Malaysia memilih model Sistem Rangkaian Pemborong Tunggal dengan menubuhkan sebuah syarikat milik penuh kerajaan bagi mengendali pembinaan prasarana sementara syarikat telco yang akan melaksanakan tindakan atau peranan untuk menjalankan perniagaan 5G runcit.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi video di laman Facebook miliknya menyatakan bahawa Digital Nasional Bhd (DNB) boleh menjadi skandal lebih besar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa dalam sidang di Dewan Rakyat pada 15 Disember lepas menyangkal dakwaan itu dan mengatakan bahawa DNB tidak sama dengan 1MDB.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda