Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KKMM Komited Pacu Malaysia sebagai Destinasi Seni Budaya dan Kreatif Serantau

By 15 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: KKMM

PUTRAJAYA, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta agensi-agensinya komited untuk terus mengungguli inisiatif memacu ekonomi seni selain menjadikan Malaysia sebagai destinasi seni budaya dan kreatif serantau.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata komitmen itu penting bagi membuka semula kemasukan pelancong, meningkatkan profil artis tempatan dan mempromosikan bakat komuniti seni tempatan dengan mengadaptasi norma baharu pandemik COVID-19.

Menurutnya elemen kesenian dan kebudayaan merupakan batu asas dalam usaha negara mencapai negara maju.

“Seni dan budaya menjadi manifestasi tamadun sesuatu bangsa dan seterusnya negara. Peranannya amat besar dalam pembangunan masyarakat.

“Negara-negara maju di dunia mengakui bahawa pencapaian, kualiti dan kemudahan untuk kegiatan kesenian sering dikaitkan dengan taraf hidup serta turut dijadikan antara kayu ukur antarabangsa dalam penentuan tahap kemajuan sesebuah negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Art in The City 2021 (AITC), malam tadi.

Dalam pada itu, Annuar berharap program AITC yang dianjurkan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) sejak Oktober lepas itu, dapat diperluaskan ke setiap negeri pada tahun seterusnya.

Menurutnya perkara itu dapat direalisasikan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa negeri dan tempatan agar lebih banyak industri kreatif khususnya seni serta budaya dapat diketengahkan.

“Tahun ini kami adakan dalam keadaan darurat, kami baharu sahaja membuka industri kreatif, tetapi saya merasakan ada ruang untuk kami meletakkan di persada sewajarnya kerana kegiatan seni dan budaya terlalu luas.

“Kami perlu mengatur langkah untuk tahun-tahun mendatang supaya ia tidak terhad hanya di Kuala Lumpur atau empat, lima bandar lain, tetapi dibawa ke skala nasional,” katanya.

Edisi ketiga AITC 2021 mengetengahkan pelbagai inisiatif seperti Festival KLWKND, cahaya The Light Project, SENSORii dan Simposium NCC50 dengan mencipta tambahan 2,600 peluang pekerjaan sepanjang ia berlangsung.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda