Skip to main content
Berita TempatanHomeMAPutrajaya

Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Anjuran Cybersecurity Malaysia Melahirkan Warganegara Digital Yang Bertanggungjawab

By 8 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Zaidy/KKMM

PUTRAJAYA, 7 Dis, (Malaysiaaktif) – Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – Piala Cabaran CyberSAFETM (National ICT Security Discourse – NICTSeD) merupakan wacana keselamatan ICT berasaskan Bahasa Inggeris yang dianjurkan setiap tahun oleh CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) dan terbuka kepada semua murid sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Peringkat akhir NICTSeD ini menyaksikan tiga sekolah iaitu SMK Sultan Abu Bakar dan SMK Alor Akar dari Negeri Pahang, dan Kolej Tunku Kurshiah dari Negeri Sembilan berentap merebut gelaran juara NICTSeD dengan tajuk pertandingan ‘Digital Citizenship in action: Assess the influence of dark technology in contemporary society. An ethical evaluation’.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika berucap dalam majlis perasmian dan penyampaian hadiah menasihati para finalis yang merupakan warga digital hari ini supaya sentiasa berwaspada ketika melayari Internet kerana teknologi dan Internet diibaratkan sebagai serampang dua mata.

Datuk Zahidi bersama juara Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – SMK Sultan Abu Bakar, Pahang.

Datuk Zahidi bersama juara Pertandingan Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – SMK Sultan Abu Bakar, Pahang.

“Kemajuan teknologi mempunyai sisi gelap dan memberi kesan kepada sesuatu keputusan serta mengancam nyawa manusia kerana boleh mendorong cara individu berfikir dan bertindak. Malah, ia boleh membahayakan privasi dan keselamatan pengguna. Telah menjadi suatu keperluan untuk menyokong etika siber dan memberi inspirasi kepada generasi muda agar menggunakan Internet secara positif selain memastikan generasi akan datang menjadi warga yang bukan sahaja celik siber tetapi juga bertanggungjawab,” katanya.

Oleh sebab itu beliau berkata, tahap kesedaran orang ramai dalam ‘Keluarga Malaysia’ perlu dipertingkatkan lagi, kerana masih ramai yang menjadi mangsa terhadap ancaman siber. Isu berkaitan etika, tanggungjawab dan pengunaan internet yang positif telah menjadi kritikal terutamanya kepada generasi muda kita.

“Terdapat keperluan mendesak dalam memastikan mereka diajarkan untuk menjadi pengguna internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab dalam menggunakan internet secara positif,” tambahnya lagi.

Zahidi berkata, dalam masa Keluarga Malaysia mengamalkan gaya hidup digital, etika siber iaitu satu kod tingkah laku bertanggungjawab dalam internet dan gaya hidup yang positif dalam penggunaan Internet akan menjadi satu keperluan.

“Mendidik warga digital mengenai etika penggunaan teknologi digital telah menjadi sebahagian daripada apa yang boleh dilakukan untuk menjadikan sebuah keluarga bahagian selamat secara dalam talian,” tambahnya lagi.

Sementara itu acara hari ini menyaksikan piala cabaran itu dimenangi SMK Sultan Abu Bakar, Pahang sebagai juara keseluruhan dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan plak.

-ZS-

Tinggalkan komen anda