Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

BHEUU, AGC Kaji Had Tempoh Perkhidmatan PM Tidak Lebih 10 Tahun

By 8 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji pengehadan tempoh perkhidmatan perdana menteri, tidak melebihi 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kajian mengenai isu itu dibuat, bagi mendapatkan pandangan orang awam, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Satu soal selidik telah dimuat naik di Portal BHEUU dan pandangan itu (kajian) boleh dijawab mulai 23 November 2021 sehingga esok (8 Disember 2021).

“Satu Jawatankuasa Teknikal juga telah ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pemandu CSA (Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan), untuk mengkaji cadangan kerajaan berdasarkan sesi libat urus yang holistik untuk membuat penetapan dasar,” katanya semasa diwawancara dalam program Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari menerusi Buletin Bernama, semalam.

Beliau berkata pindaan berkaitan perkara itu akan dilaksanakan pada Julai 2022, setelah kajian terperinci selesai dilaksanakan.

Wan Junaidi berkata cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri akan dilaksanakan, supaya tidak lagi berlaku situasi yang mana sekiranya perdana menteri itu menang di dalam pilihan raya, beliau akan terus memegang jawatan tersebut.

“Oleh itu, kita putuskan melalui jawatakuasa yang dipanggil CSA untuk menyatakan tempoh masa perkhidmatan perdana menteri adalah selama 10 tahun sahaja,” katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata Parlimen bersama Jabatan Peguam Negara sedang meneliti penggubalan atau pindaan berkaitan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2022, dan Penggubalan Akta Majlis (Kuasa Dan Keistimewaan) 2022 dan ia dijangka dibentangkan semasa Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima pada Mac 2022.

“Dengan reformasi ini, penggubalan atau pindaan akta-akta tersebut, kebebasan Parlimen terjamin dan perjalanan mesyuarat di dewan akan lebih teratur,” katanya.

Selain itu, Wan Junaidi berkata Jemaah Menteri pada 17 September lepas telah memutuskan supaya kerajaan menggerakkan penggubalan suatu Undang-Undang Lompat Parti dan satu soal selidik telah dibangunkan untuk dijawab oleh Ahli Parlimen dan orang awam mulai 23 November lepas sehingga 7 Disember 2022.

“Sehingga kini, seramai 7,000 orang awam yang telah menjawab soal selidik ini. Perkara ini merupakan antara usaha kerajaan untuk mendapatkan pandangan semua pihak dalam penetapan dasar,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda