Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Stok MSM Turun pada November 2021, Pengeluaran Rendah, Eksport Tinggi

By 10 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Stok minyak sawit mentah (MSM) bagi November 2021 susut 4.45 peratus kepada 942,354 tan metrik daripada 986,239 tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya berikutan pengeluaran yang lebih rendah manakala eksport pula lebih tinggi, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.

Ia berkata inventori minyak sawit diproses pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia itu pada akhir November meningkat 3.09 peratus bulan ke bulan kepada 874,525 tan metrik daripada 848,329 tan metrik.

Dalam satu kenyataan, MPOB berkata secara keseluruhan, stok minyak sawit menyusut 0.96 peratus kepada 1.82 juta tan metrik daripada 1.83 juta tan metrik sebelumnya.

Mengenai pengeluaran, output MSM jatuh 5.27 peratus kepada 1.63 juta tan metrik berbanding 1.72 juta tan metrik pada Oktober.

Pengeluaran isirung sawit turun 5.89 peratus kepada 388,562 tan metrik daripada 412,882 tan metrik pada bulan sebelumnya, katanya dan menambah bahawa pengeluaran minyak isirung sawit mentah jatuh 7.79 peratus kepada 179,565 tan metrik daripada 194,736 tan metrik pada Oktober.

Sementara itu, MPOB berkata eksport minyak sawit menokok 3.30 peratus bulan ke bulan kepada 1.46 juta tan metrik pada November berbanding 1.42 juta tan metrik pada Oktober, manakala eksport minyak isirung sawit melonjak 30.44 peratus bulan ke bulan kepada 123,005 tan metrik berbanding 94,302 tan metrik pada bulan sebelumnya.

“Eksport oleokimia juga meningkat 3.42 peratus bulan ke bulan kepada 254,424 tan metrik daripada 246,014 tan metrik manakala eksport biodiesel naik 160.22 peratus bulan ke bulan kepada 49,973 tan metrik daripada 19,204 tan metrik,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda