Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Arwah Pesan Jangan Berhenti Belajar

By 10 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

SHAH ALAM, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Suasana sebak seketika di Dewan Al-Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) apabila pengacara majlis mengumumkan penerima pertama Sidang 12 Majlis Konvokesyen ke-22 didahului Noor Syazana Marjuni yang turut mewakili arwah suaminya.

Noor Syazana, 37 dan suaminya, Allahyarham Mohd Zaki Ismail, 41 merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Awam bagi program pengajian separuh masa dan turut menerima Anugerah Pingat Ketua Jabatan.

Allahyarham Mohd Zaki merupakan pengurus di sebuah syarikat swasta menghembuskan nafas terakhir pada Februari lalu akibat kanser perut.

Ketika ditemui, Noor Syazana tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih kerana tidak sempat bersama di majlis konvokesyen tersebut.

”Perasaan sedih melebihi kegembiraan kerana sepatutnya arwah ada bersama dengan kita pada hari ini.

“Saya sambung belajar ini sebenarnya untuk temankan suami saya,” kata Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor itu.

Noor Syazana menunjukkan Diploma Kejuruteraan Awam dan Anugerah Pingat Ketua Jabatan yang diterima beliau dan arwah suaminya di Majlis Konvokesyen PSA ke-22.

Noor Syazana menunjukkan Diploma Kejuruteraan Awam dan Anugerah Pingat Ketua Jabatan yang diterima beliau dan arwah suaminya di Majlis Konvokesyen PSA ke-22.

Beliau berkata, banyak cabaran dan pengorbanan pelajar separuh masa sepertinya terutama untuk mengimbangkan masa bekerja dan belajar.

“Jika hujung minggu orang lain boleh meluangkan masa bersama keluarga, tapi saya menghabiskan masa bersama arwah suami di kelas dan membuat tugasan yang diberikan,” kata pemiliki dua diploma, ijazah dan ijazah sarjana.

Katanya, pesanan arwah suaminya agar tidak berhenti belajar akan sentiasa diingati dan beliau berhasrat menyambung pelajar di peringkat doktor falsafah (PhD) selepas ini.

Majlis Konvokesyen ke-22 PSA melabuhkan tirainya hari ini setelah berlangsung selama lima hari sejak 6 Disember lalu dengan keseluruhan graduan seramai 2,818 orang.

Majlis tersebut secara fizikal setelah mengambil kira hasrat mahasiswa dan ibu bapa yang ingin majlis istimewa tersebut diadakan secara bersemuka di samping kebenaran yang diberikan oleh kerajaan.

-RI

Tinggalkan komen anda