Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

107 Kluster Pendidikan Direkod dari 1 Januari hingga 25 Januari

By 27 Januari 2022Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 107 kluster COVID-19 dalam kategori pendidikan direkodkan mulai 1 Januari hingga 25 Januari lepas, melibatkan 4,633 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan ketara itu dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan pada 2022 berbanding sesi persekolahan pada 2021.

Beliau berkata daripada 107 kluster pendidikan, institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang bilangan paling tinggi iaitu 56 kluster (52.3 peratus) diikuti pendidikan lain (24.3 peratus), pendidikan tinggi (20.6 peratus), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8 peratus).

“Pada Minggu Epidemiologi (ME) pertama tahun 2022, hanya tiga kluster pendidikan direkodkan, namun kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah iaitu ME kedua apabila 15 kluster direkodkan dan peningkatan sebanyak 313 peratus pada ME ketiga.

“Pada ME keempat, sehingga 25 Januari 2022, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham berkata daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3 peratus) telah lengkap menerima vaksin COVID-19 dan 112 kes (2.4 peratus) pula telah menerima dos penggalak.

Katanya majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (Kategori Satu dan Dua) iaitu 99.7 peratus (4,621 kes), manakala hanya 0.2 peratus (12 kes) lagi daripada Kategori Tiga dan Empat dengan kesemua 12 kes itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan.

“Berdasarkan hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan, kejadian ini berpunca daripada ketidakpatuhan SOP (prosedur operasi standard) warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutama apabila berada di asrama.

“Punca lain termasuk individu bergejala lewat dikesan dan masih hadir ke kelas; murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin; ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala; dan sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas dan asrama,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata satu mesyuarat khas diadakan pada 22 Januari lepas melibatkan Kementerian Kesihatan bersama KPM, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Antara cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan ialah mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM.

Selain itu, sekolah perlu melakukan penilaian risiko dengan segera supaya pelajar yang dijangkiti COVID-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dapat dilakukan ke atas kontak rapat dan pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan.

Mengenai kes baharu COVID-19, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 4,744 kes dicatatkan semalam dengan 30 kes (0.6 peratus) daripadanya adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 4,714 kes (99.4 peratus) lagi terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.

“Daripada 4,744 kes itu, sebanyak 429 adalah kes import dan 4,315 pula adalah kes tempatan dengan 129 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 72 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 21 kluster baharu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kluster aktif adalah 259 manakala kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) Malaysia kelmarin pula adalah 1.09.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda