Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

800 Individu Dilantik Renjer Hidupan Liar

By 23 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 800 individu termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli hari ini dilantik sebagai Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju berkata mereka yang menerima watikah pelantikan itu terdiri daripada 224 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VET), 439 Orang Asli (OA), 112 orang awam, 15 Veteran Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan 10 pesara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Adalah diharapkan dengan pelantikan Renjer Hidupan Liar di bawah Program BP3 ini dapat mengurangkan kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram di kawasan habitat hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

BP3 adalah program membenteras jenayah melibatkan hidupan liar di bawah Perhilitan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang bermula secara rasmi pada 29 Jun 2020.

Ia melibatkan kawasan operasi di Banjaran Titiwangsa, Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Pulau Pinang, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin dan Rizab Hidupan Liar (RHL) Krau serta Sungkai.

Ali berkata kepakaran VET dan OA telah meningkatkan keberkesanan pengesanan kes-kes di kawasan panas dengan pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram termasuk operasi pembasmian jerat.

Katanya, penglibatan VET dan OA juga dapat memupuk rasa kebertanggungjawaban untuk melindungi khazanah negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka.

Ali memaklumkan program BP3 itu turut melibatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), PDRM, agensi-agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO)

Beliau berkata antara NGO terlibat termasuk Malaysian Conservation Alliance for Tiger (MYCAT) yang terdiri daripada Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), Tabung Hidupan Liar Malaysia (WWF), Persatuan Pencinta Alam, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia dan Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia.

Ali berkata program berkenaan merupakan kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan pada 3 September 2019 dan strategi terbaharu dalam meningkatkan rondaan penguatkuasaan bagi menangani isu pencerobohan dan pemburuan serta pembalakan haram.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda